Monday, 20 June 2016

LIMAU ASAM BOI HOMEMADE

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com
Foto: lensa ijjas

Salam,

Saya susah nak berbuka puasa di luar dengan tiga handbags yang renek-renek ni. Makanya, mahu tidak mahu... saya kena berbuka puasa di rumah. Tidak kira lah saya masak sendiri atupun beli juadah di bazar Ramadan.

Bila disentuh soal minuman masa berbuka, saya ni jenis suka minum apa-apa jenis air yang masam-masam ataupun diletakkan asam boi. Bulan puasa begini, perasaan nak minum masam-masam mula lah menjadi-jadi. Jadi, pada cuti hujung minggu lepas, saya buat sendiri PATI LIMAU ASAM BOI untuk kegunaan masa depan apabila mahu diminum.

Cara nak buat pati ni ada bermacam-macam jenis. Ada juga yang perlu dimasak dulu, tetapi saya pilih cara yang paling senang. Nak tahu caranya, ikuti langkat-langkah berikut.

Bahan-bahan utamanya, sudah tentu limau kasturi dan asam boi serta gula (tiada dalam gambar... sebab terlupa nak di-enterframe-kan.)



Potong sikit bahagian hujung limau.



Perah dan tapis limau yang telah sedia dipotong. Tapi, jangan pula dibuang kulit limaunya ya...



Kulit limau tadi masih berguna... Langkah seterusnya, masukkan asam boi ke dalam kulit limau.



Akhir sekali... tuang air limau yang sudah ditapis bersama limau + asam boi dan gula secukup rasa ke dalam bekas plastik ataupun kaca. simpan dalam peti sejuk. dalam masa dua minggu ke tiga minggu ataupun sehingga kulit limau tu lembut, kita dah boleh guna pati limau asam boi ni untuk dibuat minuman.


Memandangkan kuantiti yang saya buat ni sedikit... maklum lah, target nak minum untuk empat orang je, nampak gaya sekali atau dua kali hadap lah ni. Setakat yang saya tahu, Nabiha pun suka minum air jenis ini. Untuk Nail dan Nuha, tak pasti pula.

Apa-apa pun, saya tidak lah pula sampai mahu mengajar mereka bertiga minum air seperti ini selalu. Tak berapa bagus... Walaupun kita sediakan sendiri di rumah, penggunaan asam boi itu tidak baik untuk kesihatan anak-anak. Sekali-sekala boleh lah.   

Akhir kata, selamat mencuba bagi anda yang gemar minum air ini ya. Harap perkongsian ini dapat memberi manfaat dengan 'mengajak' anda lebih rajin untuk buat pati limau asam boi sendiri. 

Salam,
Jastina Ijjas

Friday, 10 June 2016

TIP ELAK LAPAR DAN DAHAGA

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com

Salam,

Bagi sesetengah orang, lapar dan dahaga tu jadi cabaran besar buat diri mereka. Tambahan pula kalau jenis orang yang suka tak ambil sahur, bersahur awal di tengah malam ataupun ambil makanan yang lambat dihadam masa bersahur.

Itulah sebabnya Nabi suruh kita bersahur. Lagi elok, kalau waktu sahur itu dilewat-lewatkan. Sahur tu penting ya! Ini untuk ingatan Ijjas Kids. Sahur tu membantu kita menahan lapar dan dahaga lalu membolehkan kita meneruskan rutin harian pada siang hari di sepanjang bulan Ramadan.

Kalau tak bersahur dengan betul, mulalah badan jadi lemah dan tidak bertenaga. Untuk mengelakkan masalah seperti ini berlaku, ada tip yang boleh kita amalkan.

1. Elakkan makan makanan yang berminyak dan berlemak ketika bersahur.

2. Jangan ambil makanan manis dan makanan yang tinggi Glisemik Indeks (GI) ketika sahur. Makanan yang mengandungi banyak gula dan tinggi GI boleh menyebabkan kita letih. Sebabnya, proses penghadaman berlaku dengan cepat.

3. Hindarkan minuman berkarbonat sebab ia boleh membuat badan letih. Sebaliknya lebihkan jus buah-buahan tanpa gula, susu dan air kosong.

4. Amalkan memakan kurma. Ia adalah makanan terbaik yang penuh khasiat dan boleh membekalkan sumber tenaga segera.

5. Elakkan daripada tidur selepas sahur. Cara ini sebenarnya akan membuatkan badan kita mudah penat kerana makanan masih belum dihadam ketika waktu tidur.

Apa lagi... Jangan lupa amalkan tip-tip ini kalau tak mahu lekas rasa lapar dan dahaga. Jangan lupa bersahur ya!

Salam, 
Jastina Ijjas

Thursday, 9 June 2016

TIP MAK MENYUSU MINUM AIR KALA BERPUASA

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com
Foto: google.com

Salam,

Sebelum dan awal Ramadan lalu, ada banyak paparan poster kat FB, cara-cara minum air yang cukup semasa berpuasa. Kebanyakannya berkisar tentang keperluan 2 liter air sehari.

Bagi mak-mak menyusu, kita digalakkan minum lebih lagi. 3 liter mungkin, atau lebih. Ada juga yang cadangkan kita minum ikut berat badan. 25kg berat badan/ 1 liter air. (sebaik-baiknya air kosong).

Bagi mencukupkan kuota 3 liter sehari air yang patut diambil oleh golongan mak menyusu, macam kita-kita, panduan ini in sha Allah boleh membantu.
2 gelas sebaik bangun daripada tidur untuk bersahur
2 gelas selepas makan sahur
2 gelas lepas azan Maghrib
2 gelas sebelum solat Maghrib
2 gelas selepas makan hidangan  berbuka
2 gelas selepas solat Isyak
2 gelas selepas solat Terawih
2 gelas sebelum tidur

Kalau kita rasa tak mampu nak ambil 3 liter pun tak apa. Yang penting kena cukup keperluan asas 2 liter. Pada masa yang pastikan ambil makanan mengandungi cecair. Contohnya sup ayam/ daging/ ikan, tomyam (jangan pedas sangat, nanti perut meragam) atau buah-buahan seperti tembikai merah.

Tembikai ni selain banyak kandungan air, ia juga beralkali. Sebab itulah agaknya, orang tua dulu-dulu suka betul hidang tembikai untuk berbuka puasa. Harap panduan ni boleh diikuti dan kekalkan penghasilan susu kita. Kalau tak 'lalu' minum air kosong, boleh perahkan sedikit lemon atau limau sebagai penambah rasa. Mesti sedap punya!                

Salam,
Jastina Ijjas

Wednesday, 8 June 2016

SAMBAL TAHUN RESIPI OPAH

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com
Foto: Lensa Ijjas

Salam,

Setiap kali bulan puasa, saya akan pastikan lauk SAMBAL TAHUN ini ada. Sebabnya, lauk ini boleh tahan lama. Tambah pula, saya memang berselera makan lauk ini waktu bersahur mahupun kala berbuka.

Ada macam-macam versi sambal tahun yang pernah saya makan. Yang pernah saya makan, dimasak oleh kawan berketurunan Jawa, diletakkan kerang di dalammya. Sedap!!! Ada juga yang masak bersama perut lembu, kulit lembu dan udang juga. Tapi versi-versi ini, saya tak pernah makan lagi.

Apa-apa pun, bahan utama yang wajib ada dalam sambal tahun adalah lengkuas muda. Kalau tak muda, memang kurang kesedapannya. Selain itu, cili kampung dan santan pekat pun memainkan peranan dalam menghasilkan sambal tahun yang 'menjadi'. Saya kongsikan resipinya di sini untuk tatapan Ijjas Kids di masa hadapan. Manalah tahu kalau-kalau mereka nak masak sendiri nanti. Senang! dah ada resipi warisan onyang mereka sendiri.

Bahan-bahan:
Lengkuas muda secukupnya - dihiris nipis
Santan pekat daripada 1 1/2 biji kelapa
1 genggam ikan bilis (lebih pun boleh) - digoreng garing
2 genggam cili kampung (kalau suka pedas, boleh letak lebih)
1 biji bawang besar - dihiris nipis
Serbuk kunyit secukupnya
Garam secukup rasa


1. Rebus lengkuas sehingga betul-betul lembut.


2. Bila lengkuas dah lembut, masukkan cili kampung dan rebus sehingga cilinya berubah warna. Sesudah itu, toskan sehingga kering.


3. Tanak santan bersama bawang besar dan serbuk kunyit sehingga bertahi minyak.


4. Masukkan lengkuas dan cili kampung yang siap direbus tadi. Kemudian, perasakan dengan garam secukup rasa.


5. Masukkan ikan bilis yang telah digoreng garing terlebih dahulu. Masak sehingga kering dan boleh dihidang bersama nasi panas. Aduh.... sedapnya. 

Lauk sambal tahun ni nampaknya mula jadi kegemaran Nail Ariq. Nabiha juga sukakannya, tetapi sayang, lengkuas langsung tak diberani dicuba. Sudahnya, mommy lah yang kena kutip dan makan. Nuha pula nampaknya belum ada tanda berminat sebab bila nampak lauk ini, dia akan kata, "das... das.. (pedas)."

Salam, 
Jastina Ijjas
  


Tuesday, 7 June 2016

FISIOLOGI PUASA

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com

Salam,

Perasan tak bila berpuasa, pada tempoh-tempoh tertentu kita rasa letih sangat. Tapi di suatu tempoh itu kita rasa badan segar dan seolah-olah bukan sedang berpuasa. Rupa-rupanya ada fasa-fasanya. 

Fasa 1: Hari 1 - 2
Gula dalam badan menurun. Sebab itu, jantung kita terasa perlahan degupannya. Glikogen juga ditarik keluar dari otot lalu menjadikan otot kita berasa lemah. Tindak balas badan pada fasa ini menjadikan mulut kita berbau, lapar, mudah pening dan rasa seperti mahu muntah. 

Fasa 2: Hari 3 - 7
Lemak dalam badan mula dipecahkan bagi tujuan penghasilan tenaga. Akan berlaku tindakan kimia daripada gliceride ke glicerol yang ditukarkan kepada glukosa. Dalam fasa inilah berlakunya proses detoksifikasi. 

Kesannya, organ detoksifikasi seperti paru-paru akan jadi kurang selesa. Kesan lain yang akan berlaku ialah badan dan kulit rasa berminyak. Yang seronoknya, dalam fasa ini, aktiviti sel darah putih meningkat lalu meningkatkan sistem antibodi.

Fasa 3: Hari 8 -15
Proses ditoksifikasi terus berlangsung dengan sel-sel mati dan rosak dikeluarkan daripada tubuh. Dalam masa yang sama tahap tenaga dipertingkatkan. Bagi yang memang ada penyakit, proses penyembuhan lebih mudah berlaku, malah penyakit lama juga dibaiki. walau bagaimanapun, ada kemungkinan kita boleh rasa sakit pada fasa ini.


Fasa 4: Hari 16 - 30
Badan kita mula selesa dengan amalan puasa. Proses pemulihan masih berlaku dan hasilnya pernafasan menjadi lebih baik dan kualiti darah meningkat.

Wahhh... sebab itulah Allah suruh kita berpuasa sebulan berturut-turut dalam setahun. Sebab nak beri peluang tubuh berehat dan cas semula. Lepas raya ni, cuba nak kuatkan semangat untuk puasa sunat Isnin dan Khamis lah... Boleh kekalkan momentum positif tubuh yang sedang cuba 'memperbaiki' diri... In sha Allah... semoga niat ini dipermudahkan.  


Salam, 
Jastina Ijjas 

Monday, 6 June 2016

AIR NABEEZ KURMA

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com

Salam,

Ramadan 2016 atau 1437H ini merupakan tahun kedua saya berpuasa dan pada masa yang sama menyusukan Nuha Amna Ijjas. Tahun lepas, saya berjaya berpuasa penuh. Semuanya berkat menyusukan anak dengan susu ibu. Alhamdulillah.  

Tahun ini, di umur 21 bulan, Nuha masih menyusu walaupun tidak sepenuhnya. Dia sekarang lebih banyak makan, sesuai lah dengan peningkatkan usianya. Lagipun susu ibu, pada umur Nuha sekarang dah tak perlu eksklusif seperti enam bulan pertama kelahirannya. 

Sekarang, dia dah ambil makanan pelengkap yang lain. Menyusu susu ibu buat diri Nuha, hanya diperlukan ketika dia mahu tidur ataupun semasa saya sentiasa berada di sisinya teruatamanya di waku cuti.   

Sejak bulan Syaaban, saya tertanya-tanya, bagaimana lah agaknya akan saya lalui pengalaman menyusukan Nuha pada Ramadan kali ini. Tambahan pula, saya tidak lagi mengepam untuk dijadikan stok bekalan untuk Nuha. Biarpun hati gundah tetapi Allah bantu dengan 'menghadirkan' tip di FB tentang AIR NABEEZ.

Dulu saya pernah amalkan minum air nabeez. Agak lama juga saya berhenti daripada amalan minum air nabeez setiap pagi. Nampaknya sudah tiba masanya saya kembali tekun melakukan rutin yang memang bermanfaat untuk para ibu menyusu.

Berdasarkan maklumat daripada FB, saya buat untuk sahur pertama hari ini. Ia dikatakan dapat membantu saya bertahan daripada kelaparan dan memberi tenaga tambahan. Pada masa yang sama, merangsang penghasilan susu ibu menerusi khasiat kurma yang terkandung di dalam airnya. 

Cara nak buat air nabeez kurma ini mudah sahaja. Ikut sahaja langkah-langkahnya seperti berikut. 

1. Sediakan satu mug berpenutup dan isikan air masak ke dalamnya. 

2. Ambil tiga biji kurma yang telah dibuang bijinya. Sebaik-baiknya, kurma ini dipotong kecil untuk memudahkan proses rendaman kurma di dalam air yang disediakan. 

3. Rendam kurma yang telah dipotong ke dalam mug. Tutup dan simpan di dalam peti sejuk. Seelok-eloknya, sediakan air nabeez paling kurang empat hingga enam jam sebelum diminum. Jadi, selepas solat Isyak atau terawih, anda bolehlah sediakan air nabeez sebelum masuk tidur.  

4. Sebaik bangun tidur, semasa perut masih kosong, minum air nabeez ini. Saya campurkannya dengan satu sudu serbuk protein kacang soya. Tujuannya adalah untuk menggandakan rangsangan bagi mengekalkan penghasilan susu saya. Selepas itu, saya makan sahur seperti biasa dan tidak lupa minum air kosong untuk kekal hidrat di siang hari.

Selain daripada kurma, informasi yang peroleh itu juga ada nyatakan air nabeez yang diperbuat daripada kismis. Kaedahnya sama sahaja, cuma jumlah kismis yang hendak digunakan adalah lebih baik dalam bilangan ganjil.   

Anda boleh pilih sama ada mahu air nabeez kurma atau air nabeez kismis. Pilih salah satu dan jangan campurkan kedua-bahan ini dalam air yang sama. Satu lagi, air ini perlu dihabiskan dalam tempoh 24 jam penghasilannya. Proses rendaman yang terlalu lama akan berubah menjadi proses penapaian pula.    

Harapan saya, dengan ketekunan mengikuti rutin meminum air nabeez kurma sepanjang tempoh Ramadan ini, bekalan susu ibu buat Nuha akan berterusan. Jika ia membantu memperbanyakkan lagi penghasilan susu, maka ia adalah lebih baik. Dapatlah Nuha berterusan menyusu susu ibu walaupun umurnya lebih daripada 24 bulan nanti. Aamiin... In sha Allah. 

Salam,
Jastina Ijjas

Thursday, 23 July 2015

AIR NABEEZ = INFUSED WATER CARA SUNAH

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com

Salam,

Sebelum ini saya banyak terdedah dengan pelbagai resipi infused water ataupun air detoks menggunakan buah-buahan dan sayur-sayuran. Ada beberapa resipi telah saya (dan Nabiha... juga Nail) cuba. Memang berkesan! Kami bertiga sangat sukakannya.

Dalam bulan Ramadhan lepas, baru saya tahu yang kurma dan kismis pun boleh dijadikan bahan utama infused water. Apatah lagi, ia adalah amalan Rasulullah SAW. Berdasarkan pembacaan, AIR NABEEZ digemari Baginda.

Ia dihasilkan dengan merendam beberapa biji kurma atau kismis (dalam bilangan ganjil) ke dalam bekas bertutup berisi air kosong selama semalam. Seelok-eloknya dibuat pada waktu petang atau malam.

Selidik punya selidik melalui encik Google, rupa-rupanya ada do and dont’s dalam membuat air nabeez ni. Kita kena pilih sama ada mahu buat air nabeez guna kurma atau kismis. Kita tak boleh gabungkan kedua-duanya bersama-sama.

Apa yang seronoknya, air nabeez boleh disimpan di dalam peti sejuk. Sedap kan dapat minum sejuk! Ia boleh tahan dalam masa satu ke dua hari. Tetapi kita dilarang meminum air nabeez yang disimpan lebih daripada tiga hari. Sebabnya, proses penapaian berlaku apabila kurma atau kismis dibiarkan terendam melebihi tiga hari.

Bagi saya, air yang fresh lebih sedap. Tak perlu disimpan lama. Semalaman pun dah cukup. Sama seperti infused water, air nabeez ini saya simpan dalam peti sejuk untuk tempoh semalaman sahaja dan kami akan habiskannya dalam masa satu hari.

Air nabeez juga boleh diubahsuai menggunakan susu atau yogurt untuk dijadikan smoothie. Caranya sama saja. Rendam dan paling penting simpan dalam peti sejuk supaya susu atau yogurt tidak rosak.

Kalau “orang putih” popularkan infused water, apa kata kita sebagai umat Nabi viralkan air nabeez pula. Air nabeez adalah minuman berakali! Ia mampu menolong kita membuang asid daripada sistem pencernaan. Dalam masa yang sama menyingkirkan toksin daripada badan kita. Pendek kata, air nabeez sama seperti infused water tau!

Bagi saya, air nabeez ini bagus untuk Nabiha dan Nail (serta Nuha juga yang memperolehnya melalui susu ibu) disebabkan kurma kaya dengan pelbagai zat makanan. Manakala kismis pula tinggi fruktosa dan glukosa (gula ringkas) yang baik untuk menguatkan daya ingatan.

Syukur, dari semasa ke semasa kita didedahkan dengan pelbagai maklumat pemakanan Baginda Rasulullah. Jom kita sama-sama amalkan sebab gaya hidup cara sunah memang terbukti baik untuk kehidupan kita.

Salam,
Jastina Ijjas