Monday 6 June 2016

AIR NABEEZ KURMA

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com

Salam,

Ramadan 2016 atau 1437H ini merupakan tahun kedua saya berpuasa dan pada masa yang sama menyusukan Nuha Amna Ijjas. Tahun lepas, saya berjaya berpuasa penuh. Semuanya berkat menyusukan anak dengan susu ibu. Alhamdulillah.  

Tahun ini, di umur 21 bulan, Nuha masih menyusu walaupun tidak sepenuhnya. Dia sekarang lebih banyak makan, sesuai lah dengan peningkatkan usianya. Lagipun susu ibu, pada umur Nuha sekarang dah tak perlu eksklusif seperti enam bulan pertama kelahirannya. 

Sekarang, dia dah ambil makanan pelengkap yang lain. Menyusu susu ibu buat diri Nuha, hanya diperlukan ketika dia mahu tidur ataupun semasa saya sentiasa berada di sisinya teruatamanya di waku cuti.   

Sejak bulan Syaaban, saya tertanya-tanya, bagaimana lah agaknya akan saya lalui pengalaman menyusukan Nuha pada Ramadan kali ini. Tambahan pula, saya tidak lagi mengepam untuk dijadikan stok bekalan untuk Nuha. Biarpun hati gundah tetapi Allah bantu dengan 'menghadirkan' tip di FB tentang AIR NABEEZ.

Dulu saya pernah amalkan minum air nabeez. Agak lama juga saya berhenti daripada amalan minum air nabeez setiap pagi. Nampaknya sudah tiba masanya saya kembali tekun melakukan rutin yang memang bermanfaat untuk para ibu menyusu.

Berdasarkan maklumat daripada FB, saya buat untuk sahur pertama hari ini. Ia dikatakan dapat membantu saya bertahan daripada kelaparan dan memberi tenaga tambahan. Pada masa yang sama, merangsang penghasilan susu ibu menerusi khasiat kurma yang terkandung di dalam airnya. 

Cara nak buat air nabeez kurma ini mudah sahaja. Ikut sahaja langkah-langkahnya seperti berikut. 

1. Sediakan satu mug berpenutup dan isikan air masak ke dalamnya. 

2. Ambil tiga biji kurma yang telah dibuang bijinya. Sebaik-baiknya, kurma ini dipotong kecil untuk memudahkan proses rendaman kurma di dalam air yang disediakan. 

3. Rendam kurma yang telah dipotong ke dalam mug. Tutup dan simpan di dalam peti sejuk. Seelok-eloknya, sediakan air nabeez paling kurang empat hingga enam jam sebelum diminum. Jadi, selepas solat Isyak atau terawih, anda bolehlah sediakan air nabeez sebelum masuk tidur.  

4. Sebaik bangun tidur, semasa perut masih kosong, minum air nabeez ini. Saya campurkannya dengan satu sudu serbuk protein kacang soya. Tujuannya adalah untuk menggandakan rangsangan bagi mengekalkan penghasilan susu saya. Selepas itu, saya makan sahur seperti biasa dan tidak lupa minum air kosong untuk kekal hidrat di siang hari.

Selain daripada kurma, informasi yang peroleh itu juga ada nyatakan air nabeez yang diperbuat daripada kismis. Kaedahnya sama sahaja, cuma jumlah kismis yang hendak digunakan adalah lebih baik dalam bilangan ganjil.   

Anda boleh pilih sama ada mahu air nabeez kurma atau air nabeez kismis. Pilih salah satu dan jangan campurkan kedua-bahan ini dalam air yang sama. Satu lagi, air ini perlu dihabiskan dalam tempoh 24 jam penghasilannya. Proses rendaman yang terlalu lama akan berubah menjadi proses penapaian pula.    

Harapan saya, dengan ketekunan mengikuti rutin meminum air nabeez kurma sepanjang tempoh Ramadan ini, bekalan susu ibu buat Nuha akan berterusan. Jika ia membantu memperbanyakkan lagi penghasilan susu, maka ia adalah lebih baik. Dapatlah Nuha berterusan menyusu susu ibu walaupun umurnya lebih daripada 24 bulan nanti. Aamiin... In sha Allah. 

Salam,
Jastina Ijjas

No comments:

Post a Comment