Monday 3 February 2014

MENYUSU KALA HAMIL SELAMAT


Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Pagi ini saya menerima ucapan tahniah dari teman-teman sepejabat atas berita kehamilan yang tersebar pantas. Hanya ucapan terima kasih mampu saya balas, di samping memohon mereka semua mendoakan kesejahteraan saya dan bayi dalam kandungan. 

Selain ucapan tahniah, saya turut ditanya sama ada masih menyusukan Nail ataupun sebaliknya. Jawapan saya, sudah tentu saya masih menyusukannya dan akan terus menyusukan, selagi Nail berkemahuan. 

Saya tekad meneruskan azam menyusukan Nail sekurang-kurangnya dua tahun. Andai ditakdirkan Nail memilih untuk berhenti lebih awal, saya reda kerana sudah melakukan sehabis baik dalam menyalurkan khasiat susu ibu buat dirinya.

Sememangnya, amalan penyusuan susu ibu semakin mendapat tempat di hati para ibu berkerjaya. Ramai mula sedar kebaikan susu ibu dan berusaha untuk memberikan susu ibu kepada bayi masing-masing. Walau bagaimanapun, masih ada segelintir ibu yang kurang arif tentang keselamatan penyusuan susu ibu semasa hamil.

Jangan takut... Susu ibu selamat untuk ibu hamil itu sendiri, anak yang sedia ada disusukan malah anak dalam kandungan juga. Yakinlah, kita sebagai ibu hamil mampu melakukannya. Jika masih ragu-ragu, boleh bertanya lanjut kepada pakar/ kaunselor laktasi ataupun doktor yang memeriksa kehamilan kita.

Apabila mendapat pilihan bermaklumat (informed choice), sudah tentu kita akan lebih yakin untuk menyusukan anak bukan? Percayalah, jika keadaan kesihatan kita tidak mengizinkan, sudah pasti pakar/kaunselor laktasi dan doktor O&G menasihatkan kita menghentikan penyusuan. Jika itu yang berlaku, maka patuhilah saranan mereka.

Buat masa ini, saya belum mengalami sebarang tanda yang memerlukan saya menghentikan penyusuan buat Nail. Saya tidak muntah teruk, mengalami pendarahan mahupun kontraksi awal seperti yang biasa dinyatakan oleh ibu hamil dan menyusu. Saya juga belum pernah melahirkan anak pramatang (Nauzubillah). Nampaknya setakat ini, belum ada keperluan untuk saya berbuat demikian.

Cuma saya akui, dari sebelum mengetahui diri hamil lagi, sakit pinggang yang biasa dialami semakin menjadi-jadi lantaran sering menyusukan Nail secara mengiring di waktu malam. Bagi saya ia perkara biasa (dan salah sendiri). Ia tidak boleh menjadi penyebab untuk saya berhenti menyusu. 

Apa yang saya tahu, mulai saat ini, saya perlu sentiasa menjaga kesihatan diri dan mengambil makanan sihat dan seimbang secara istiqamah demi diri sendiri, Nail, bakal adiknya dan keluarga juga. Jika tidak sihat, pasti akan timbul masalah lain pula nanti.

Sementara itu, sebelum ini saya pernah menerima beberapa pandangan yang menyatakan penyusuan kepada anak sedia ada akan mengurangkan khasiat buat si anak dalam kandungan. Bagi saya, pandangan itu kurang tepat. Allah SWT telah menciptakan kita sebagai ibu hamil dan menyusukan. Sudah tentu, Dia telah menyusun elok segala-galanya. Yang penting, kita kena jaga pemakanan dan kesihatan. Selainnya, berserah sahaja kepada Allah SWT.

Ada juga yang kata penghasilan susu akan berkurangan. Itu saya setuju dan memang tidak dapat dinafikan. Apabila kandungan semakin membesar, hormon kehamilan memainkan peranan dan mula menyebabkan susu kita sedikit demi sedikit berkurangan. Sama juga halnya dengan rasa susu. Lama-kelamaan susu akan jadi lebih masin akibat peningkatan natrium dan pengurangan laktosa yang dilakukan oleh hormon kehamilan.

Yang paling melucukan, gesaan oleh sesetengah pihak yang cuba mempengaruhi ibu hamil berhenti menyusukan anak adalah kerana risau kolostrum berkurangan dan tidak dapat memenuhi keperluan bayi setelah lahir. Oh! Salah tu! Jawapannya, tidak sama sekali. Ketahuilah, kolostrum akan sentiasa terbentuk dari semasa ke semasa dan ia mencukupi untuk bayi yang bakal dilahirkan.

Apa-apa pun pandangan serong orang lain tentang penyusuan susu ibu semasa hamil, saya tidak begitu ambil peduli. Paling penting saya mahu menjadikan penyusuan semasa hamil sebagai suatu momen indah dan berharga buat saya - Nail - adiknya dalam mengeratkan hubungan antara satu sama lain. 

Saya mahu Nail melihat perubahan fizikal yang bakal saya lalui nanti supaya dia tahu, dia bakal menjadi abang. Jadi, dari awal  dia dapat berkongsi kasih sayang dengan adiknya. Harap dia akan menjadi abang yang dapat bertimbang rasa dan tidak cemburu buta apabila adiknya lahir kelak. 

Sungguh! saya tak sabar menanti saat itu. Sama seperti momen yang saya lalui ketika mengandungkan Nail dahulu di mana Nabiha tidak putus-putus memeluk saya dan mencium perut apabila ada kesempatan melakukannya. Momen itu sangat manis dan tidak akan saya lupakan. (Harap kamu juga mengingatinya ya Nabiha!)

Panjang pula coretan saya kali ini. Satu sahaja harapan saya. Semoga pencerahan yang saya buat dalam entri dapat membantu mana-mana ibu lain untuk terus menyusukan si anak. Dia masih memerlukan kita demi mendapatkan khasiat makanan dan juga belaian kasih sayang yang biasa yang diperolehi menerusi proses penyusuan. Kasihan pula pada dia jika proses penyusuan dihentikan secara tiba-tiba setelah mengetahui diri kita hamil. 

Salam, 
Jastina Ijjas

Sunday 2 February 2014

UJI hcG SEAWAL PAGI

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Saya mula menceburkan diri dalam bidang penulisan berkaitan kehamilan sejak belum bernikah lagi. Saya secara rasmi menjadi wartawan Pa&Ma sekitar awal tahun 2004. Jadi, banyak perkara yang saya kurang arif lantaran tiada pengalaman.

Apabila diri sendiri melalui pengalaman hamil kali pertama setelah mendirikan rumah tangga, saya tertanya-tanya apa perlunya kita melakukan ujian kehamilan seawal pagi atau lebih tepat lagi di waktu Subuh. Bagi saya apabila hamil, sudah pastinya hormon hcG sudah sedia ada dalam diri, jadi kita boleh mengetahui kehadirannya pada bila-bila masa dan tidak terhad pada waktu pagi sahaja.

hcG atau nama penuhnya human chorionic gonadotropin ialah sejenis hormon yang dapat menunjukkan seseorang wanita itu hamil. Hormon ini dihasilkan oleh uri selepas berlakunya persenyawaan iaitu setelah zigot terbenam dalam dinding rahim. Paras hcG yang boleh dikenalpasti menerusi air kencing lebih tinggi apabila usia kehamilan semakin meningkat.

Untuk mengetahui hamil atau sebaliknya, kita boleh melakukan ujian kehamilan dengan menggunakan kit penguji kehamilan yang boleh didapati di farmasi seawal 7 hari daripada tarikh kita sepatutnya haid.

Memandangkan ada kes di mana kit penguji kehamilan gagal mengesan hcG biarpun haid sudah lewat, bertenang... itu bukan petanda kita tidak hamil. Kadang-kadang paras hcG masih rendah, sebab itulah keputusannya negatif.

Oleh kerana itulah, kita sangat digalakkan untuk melakukan ujian kehamilan sewal pagi di Subuh hari. Ketika ini, para hcG berada pada tahap yang paling tinggi. Bagi yang gagal mendapat hasil yang diharapkan, kita boleh cuba sekali lagi keesokan harinya pula.

Untuk ujian kali kedua itu, kita kena bangun seawal pagi dan jangan sesekali minum air sebelum membuang air kecil bagi mendapatkan sampel air kecing berkualiti.

Bagi mendapatkan keputusan yang lebih sahih, kita boleh usahakan ujian darah. Hal ini kerana ujian darah lebih sensitif berbanding  ujian air kencing. Malah, ia boleh mengesan kehamilan sejak dari enam hingga lapan hari selepas persenyawaan! Ujian darah ini anda boleh dapatkannya  di klinik atau hospital berhampiran.

Jangan jadi naif seperti saya sewaktu mahu melakukan ujian kehamilan kali pertama. Ada lebih baik jika ujian kehamilan dilakukan pada waktu pagi seminggu selepas haid kita lewat. Diharap dengan melakukannya pada awal pagi, keputusan yang bakal kita peroleh memuaskan hati.

Salam,
Jastina Ijjas

Saturday 1 February 2014

1 FEB: HARI HIJAB SEDUNIA

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin

Salam,

Hari ini, 1 Februari 2014 telah dinobatkan sebagai Hari Hijab Sedunia. Sebenarnya, hari khusus untuk golongan wanita berhijab (tidak kira Muslim atau bukan Muslim) berhijab telah dimulakan sejak tahun 2012 lagi. Ia dicetuskan oleh seorang remaja yang bernama Nazma Khan. Dia berasal dari Bangladesh  mengalami pengalaman buruk berhijab ketika berada di New York, Amerika Syarikat.

Bersandarkan pengalamannya itu, timbullah idea untuk mengajak wanita di seluruh dunia melalui pengalaman berhijab. Inisiatif yang dimulakan oleh Nazma kini mendapat sambutan daripada wanita di seluruh dunia. Wanita Muslim dan bukan Muslin sama-sama memeriahkannya.  Hal ini kerana tujuan utama kempen ini ialah memberi penghormatan sewajarnya kepada pemakai hijab dan menghormati agama anutannya.

Oh, bertuahnya saya bekerja di syarikat Bumiputera yang membolehkan saya bebas memakai hijab tanpa sebarang sekatan. Walaupun Malaysia adalah negara Islam, saya tahu masih ada segelintir syarikat yang menghalang pekerjanya yang beragama Islam daripada memakai hijab ketika di tempat kerja.

Bagi saya berhijab ini maksudnya bukan sekadar memakai tudung menutupi rambut di kepala tetapi ia lebih daripada itu. Hijab itu sepatutnya menutup aurat daripada pandangan umum yang bukan muhrim saya. 

Dari sehari ke sehari, saya cuba memperbaiki diri. Saya akui, saya belum berhijab dengan sempurna walaupun mula menutup aurat daripada pandangan  khalayak sejak 17 tahun yang lalu. Masih banyak kekurangan dalam segi menutup aurat yang perlu saya perbetulkan.

Kadang-kadang, lengan baju saya tidak menutup keseluruhan tangan; kaki pula tidak diselindungi dengan stoking; dada juga ada waktunya tidak ditutup dengan sempurna. Ya Allah, ampunkan kekhilafanku ini. 

Kini, Nabiha bakal menginjak usia 9 tahun. Seboleh mungkin, saya mahu dia mula menutup aurat apabila umurnya 10 tahun. Saya tidak mahu dia jadi seperti saya yang hanya memakai tudung setelah menjejakkan kaki ke universiti.

Saya dan suami mahu Nabiha sedar kepentingan berhijab sejak dari awal. Sejak umurnya masih muda. Bukan sekadar menutup rambut di kepala tetapi berhijab dalam erti kata sebenar dan paling penting ia perlu memenuhi tuntutan syarak. 

Ya! Nampaknya saya sudah ada idea hadiah untuk ulang tahun kelahirannya yang ke-10, tahun hadapan. In sha Allah, saya akan hadiahkannya beberapa koleksi tudung sebagai permulaan berhijab. Nabiha! Opss... Kamu dah tahu apa hadiah kamu... Tak mengapa kan walau tak ada suprise? Mommy akan fikirkan kejutan dalam cara yang berlainan nanti ya.

Salam, 
Jastina Ijjas

AYAT KURSI: AMALKAN SETIAP PAGI!

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam, 

Baru sahaja pagi ini, saya menulis entri berkaitan dengan amalan membaca ayat Kursi yang saya jadikan sebagai "pendinding" diri, keluarga dan orang yang selalu berada di sekitar kami. 

Kali ini, saya terpanggil untuk sekali lagi menekankan perkara yang sama setelah membaca beberapa status kawan-kawan di FB yang memberi peringatan tentang kejadian pukau yang dijalankan oleh satu pihak dipercayai lelaki Indonesia.

Khabarnya, satu kes berlaku di Seksyen 18, Shah Alam melibatkan remaja lelaki dan satu lagi di SACC Mall di mana mangsanya ialah wanita hamil. Tidak mustahil, kejadian yang sama boleh berlaku di tempat-tempat lain di sekitar Shah Alam dan kawasan lain juga.

Bimbangnya saya jika hal ini berlaku kepada saya sendiri dan orang-orang yang rapat dengan saya. Jika sekadar memukau dan mengambil barangan berharga tidak mengapa. Masih boleh dimaafkan lagi. Tapi, bagaimana jika ia lebih daripada itu. Oh! jauh pula fikiran saya menerawang. 

Saya akui, saya memang risau. Lebih-lebih lagi jika kejadian sebegini kepada golongan wanita. Saya takut jika pemukau terbabit mengambil kesempatan berlebihan. Nauzubillah... Jauhkan hal-hal kecelakaan daripada menimpa kami dan lindungilah kami sentiasa, ya Allah. Amin. 

Oleh yang demikian, saya mengingatkan diri sendiri dan kita semua untuk mengamalkan bacaan ayat Kursi, setiap hari! Sebaik-baiknya pada waktu pagi sebaik mahu melangkahkan kaki keluar dari rumah. Selepas membaca ayat ini, panjatkan doa kepada Allah SWT supaya dia melindungi kita. In sha Allah, dengan izinNya, kita pasti selamat sepanjang hari.

Salam, 
Jastina Ijjas

AYAT KURSI, PELINDUNG DIRI

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Khamis lepas, sekali lagi rakyat Malaysia dikejutkan dengan kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak kecil. Satu berlaku di Muar Johor, di mana seorang murid sekolah agama berumur 10 tahun diculik, dirogol, diliwat dan ditoreh kemaluannya. Kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan ke sekolah menaiki basikal bersendirian melalui jalan pintas dari rumahnya.

Satu lagi kes di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. Si kecil baru berumur 7 tahun, mati dikelar ayahnya sendiri. Dua orang kakaknya yang berumur 10 dan 12 tahun pula cedera di tengkuk dan tangan malah salah seorang daripadanya putus jari.

Kala membaca heading berita-berita ini, saya terus beristighfar panjang. Simpati mengenangkan nasib keempat-empat kanak-kanak ini. Dalam masa yang sama, saya terus terbayangkan anak-anak sendiri - Nabiha dan Nail.

Setiap hari, sebelum meninggalkan mereka untuk ke tempat kerja, saya akan membaca doa "pendinding" iatu ayat Kursi. Saya percaya dengan membaca ayat ini, Allah SWT akan menghantar dua malaikat untuk melindungi diri si pembacanya. 

Oleh kerana anak-anak masih kecil, maka sayalah yang membacakan ayat Kursi yang diiringi dengan doa memohon diberi keselamatan sepanjang hari. Bukan untuk mereka berdua sahaja, saya turut membaca ayat dan doa yang sama untuk diri sendiri, suami, mak dan orang-orang yang berada di sekeliling kami agar diiringi malaikat-malaikat bagi melindungi keselamatan kami.

Sebaik sahaja melangkahkan kaki keluar dari rumah untuk ke rumah pengasuh Nail, saya dahulukan rutin dengan membaca surah al-Fatihah untuk disedekahkan kepada Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga saya. Selanjutnya, terus saya bacakan ayat Kursi ini bersama doanya. 

Saya lakukan rutin ini setiap hari bersama Nail. Setiap kali selepas melakukannya, Nail akan mengaminkan doa saya (meraup kedua-dua tangannya ke wajah). Jadi, besar harapan saya agar Allah SWT memakbulkan doa saya apabila ia diaminkan oleh seorang kanak-kanak kecil yang masih tiada dosa.

Selain daripada membaca ayat Kursi untuk tujuan keselamatan atau saya 
panggilnya sebagai doa pendinding, ada manfaat lain yang ada pada ayat ini.
Berikut saya kongsikan maklumat yang saya dapat untuk pengetahuan diri  sendiri dan anda semua.

Manfaat lain ayat Kursi  
Orang yang selalu membaca ayat ini akan dicintai dan dipelihara Allah SWT sebagaimana Dia memelihara Nabi Muhammad SAW.  

Jika kita membaca ayat Kursi ketika dalam kesempitan, Allah SWT pasti akan memberi pertolongan.

Sesiapa yang membaca ayat Kursi semasa berbaring di tempat tidurnya,
Allah SWT mewakilkan 2 malaikat memeliharanya sehingga bangun dari tidur.

Dengan membaca ayat Kursi di akhir setiap solat Fardhu, kita akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga waktu solat yang lain.

Kita akan diberikan keselamatan ketika dalam perjalanan jika membaca ayat Kursi sebelum memulakan perjalanan.

Jika kita membaca ayat Kursi sebelum keluar rumah, Allah SWT akan
mengutuskan 70,000 malaikat dan kesemua mereka memohon keampunan dan
mendoakan  diri kita.

 
Sesiapa yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat perlindungan Allah SWT daripada gangguan dan hasutan syaitan.

Ayat Kursi boleh menjadi benteng kuat untuk menyekat pencuri daripada memasuki rumah. Dengan izin Allah SWT, kita akan terhindar daripada pencerobohan pencuri.

Jika dibaca 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan solat sunat dua rakaat, Allah SWT akan memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan pembesar.

Salam,
Jastina Ijjas

Friday 31 January 2014

NAMA OH NAMA

Teks: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Tugas saya tdak hanya terbatas sebagai penulis majalah. Saya telah diajar untuk menjadi seorang yang multi-tasker. Jadi, ada ketikanya, saya akan "turun" padang membantu mempromosikan majalah. Salah satu event yang sering Pa&Ma sertai ialah expo Maternity & Children anjuran TCE. Dalam setahun, dua kali akan berkampung selama 3 hari di Mid Valley Exhibition Centre. 

Minggu sudah, saya bertugas di meja pendaftaran untuk  Pertandingan Prince & Princess Pa&Ma 2014 dan Peraduan Bijak Puzzle Pa&Ma. Di kesempatan itu, saya berpeluang untuk "mengenali" pelbagai nama bayi dan kanak-kanak. Ada yang pendek - ringkas, panjang berjela, mudah disebut dan tidak kurang juga sehingga terbelit-belit lidah dibuatnya. 

Ketika studio foto hampir ditutup pada hari terakhir Pertandingan Prince & Princess Pa&Ma 2014 kerana waktu itu sudah menjangkau jam 1 petang, tiba-tiba saya didatangi seorang ibu yang merayu-rayu mahu menyertai pertandingan itu. Setelah berbincang dengan rakan sekerja, kami terima juga penyertaannya. 

Ketika sesi foto berlangsung, baru saya perasan yang ibu ini adalah orang yang sama pernah menyertai Pertandingan Si Manja Fotogenik di expo terdahulu. Saya pernah menegurnya dengan memberi cadangan untuk menukar nama anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) lantaran dia mengambil masa untuk mengisi borang kerana tidak pasti ejaan nama anaknya. Sudahlah nama anaknya itu panjang. Ada empat nama kemudian susah pula ejaannya. 

Saya sendiri tak berupaya nak mengingat nama anaknya apatah lagi ingat ejaannya. Simpati saya pada anaknya itu. Di masa akan datang, pasti dia juga akan menghadapi situasi yang sama seperti ibunya iaitu terlupa ejaan nama sendiri. 

Menyentuh tentang hal nama ini, sebenarnya saya pun pernah melakukan kesilapan dengan memberi ejaan nama yang kononnya unik untuk Nabiha. Maafkan mommy ya Nabiha. Nama pertama yang didaftarkan untuknya ialah Nabiha Ie'sya. Selepas saya mendapati orang lain sukar menyebut namanya dengan betul, saya terus menukar namanya kepada ejaan yang lebih mudah dan senang disebut iaitu Nabiha Ai'sha. 

Mujur saya didorong menukar nama ketika Nabiha belum mencecah umur setahun. Jadi, proses pertukaran namanya lancar tanpa ada sebarang masalah. Jika anak kecil yang melebihi 1 tahun mahu menukar nama, prosesnya agak memakan masa kerana perlu mengangkat sumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah terlebih dahulu sebelum nama baru boleh didaftarkan di JPN. 

Kesilapan yang sama tidak mahu saya ulangi lagi. Saya serik. Pemilihan nama Nail dilakukan sejak dari awal. Kali ini saya dan suami mahu nama anak kami disebut dalam dua suku kata sahaja. Untuk memastikan kesinambungan nama N... A... kami pilih Nail Ariq sebagai nama untuk anak kedua kami.

In sha Allah, jika rezeki anak bertambah lagi, kami sudah ada senarai nama untuk bayi lelaki dan perempuan. Yang pasti nama-nama N... dan A... itu akan disebut dalam dua suku kata juga. Cuma kami belum lagi gabungkan nama N... dan A... bagi mendapatkan maksud nama yang baik dan bagus. 

Belajar daripada kesilapan sendiri dan seboleh-bolehnya tidak mahu kesalahan yang sama dilakukan oleh orang-orang yang terdekat mahupun anda yang membaca entri ini, saya nasihatkan pilihlah nama yang baik, senang disebut dan mudah dieja. 

Janganlah kita menyusahkan si anak dengan memberikan nama yang sukar dieja ataupun terlalu panjang hanya kerana mahu ia lain daripada yang lain. Susah nak isi namanya dalam borang nanti. Bayangkan juga bagaimana agaknya situasi bakal suami anak itu di kala mahu diakad nikah jika namanya panjang dan susah nak disebut. Mesti semput dibuatnya.

Jadi, renung-renungkan... dan selamat memilih nama yang sesuai...   

Salam,
Jastina Ijjas

Thursday 30 January 2014

DELIMA PUNYA KHASIAT HEBAT

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin
Foto: Sumber google


Salam,

Buah delima adalah salah satu daripada makanan sunah. Oleh kerana itulah, buah ini sangat baik untuk kita kerana ia kaya dengan khasiat untuk kesihatan. Malah, orang-orang tua kata, sebaik-baiknya sebiji delima dimakan oleh satu orang (tanpa dikongsi dengan orang lain) sehingga habis kerana setiap satu butir isi buah delima ini mempunyai khasiatnya tersendiri.

Sejak dari dahulu, saya memang suka makan delima. Masa saya kecil, susah juga nak dapat buah ini. Ada musimnya... Biasanya ia dapat dibeli jika kami sekeluarga ke Jalan TAR bila musimnya tiba. Waktu itu, arwah abah pasti akan beli beberapa biji buah delima untuk kami makan sekeluarga. Kalau bernasib baik, dapatlah makan delima yang manis. Kalau tidak, buah yang masam-masam manis itu dimakan juga sebab saya berpegang kepada kata orang-orang tua seperti yang saya katakan tadi.

Masa saya mengandung dahulu pun, saya suka makan buah delima walaupun tidak selalu. Melalui pembacaan, saya tahu buah delima dapat membantu anak yang saya kandungi itu menjadi bayi yang sihat dan cerdas.

Tambahan pula, delima juga sangat kaya dengan kandungan asid folik. Jadi, ia membantu saya dan para ibu hamil yang lain mencegah kecacatan tiub saraf pada bayi. Satu lagi kebaikan delima untuk wanita hamil ialah jus delima yang diambil secara berterusan dapat mengelakkan masalah kejang kaki yang biasa dihadapi terutamanya di akhir trimester kehamilan.

Sehubungan itu, untuk makluman, saya dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai sejarah kanser. Dua orang makcik saya dari sebelah mak menghidap kanser payu dara. Melalui "risikan" yang dilakukan di Internet, saya didedahkan yang buah delima dapat membantu saya mengurangkan faktor risiko.

Dengan kandungan antioksidan yang tinggi dalam buah delima, ia dapat membantu kita melawan melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel tubuh. Info yang saya dapat itu juga menyatakan delima mengandungi antioksidan, dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding anggur merah.

Delima bukan sekadar untuk mengurangkan risiko kanser payu dara sahaja ya. Malah untuk kanser-kanser lain juga. Saya tak ingat statistiknya tetapi banyak kajian telah membuktikan khasiat buah delima dalam hal-hal berkaitan kanser seperti paru-paru dan prostat.

Banyak lagi kebaikan delima kepada kesihatan kita selain daripada apa yang saya nyatakan ini. Delima kan makanan sunah? Sudah tentu ia baik untuk kita semua. Jom, kita praktikkan amalan sunah dengan menjadikan amalan memakan buah delima sebagai salah satu daripadanya.

Dalam entri yang akan datang, saya akan kongsikan panduan untuk mengeluarkan buah delima sebiji demi sebiji agar senang dimakan. Caranya mudah sahaja. Nantikan ya...

Salam,
Jastina Ijjas

Tuesday 28 January 2014

CIUMAN SUMBER PAHALA

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google

Salam,

Geramnya tengok baby ni. Kalaulah dapat cium dia...
Seronok bukan setiap kali dapat cium anak-anak? Lebih-lebih lagi, anak-anak kecil. Tambah terharu bila setiap kali kita cium anak-anak, mereka akan membalasnya dan disertai dengan pelukan erat. Pastinya terselit suatu perasaan yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Saya memang suka cium budak-budak. Kalau yang gebot (perkataan yang sering saya gunakan untuk si kecil yang bertubuh montel dan gebu), rasa seperti mahu gigit sahaja.

Nabiha waktu kecilnya memang gebot. Memang selalulah kena cium dan di"gigit" manja terutamanya di bahagian pipi dan peha. Sayang sekali Nail hanya berisi untuk tempoh yang singkat. Apabila usianya makin bertambah dan banyak kemahiran baru yang dikuasai, tubuhnya semakin hari semakin susut. Dia bernasib baik kerana saya jarang menggigitnya tetapi ciuman tidak pernah lekang untuknya.

Ciuman memang bagus dalam perkembangan diri dan kesihatan anak-anak. Antara yang paling saya ingat ialah menguatkan daya ketahanan tubuh. Bukan cium anak sahaja, malah jika cium orang dewasa pun, sistem imunisasi tubuh dapat diperkukuhkan.

Malah, dengan memberi ciuman juga, kita secara tidak langsung, menambah penghasilan air liur. Keadaan ini sangat bermanfaat kerana ia dapat menjadikan mulut, gigi dan gusi kekal sihat. Memandangkan ciuman meningkatkan daya tahan badan, jadi jangkitan pada mulut dapat kita elakkan.

Selain baik untuk kesihatan, ia juga baik untuk saham akhirat. Allah SWT sudah menyatakan bahawa sesiapa yang mencium anaknya, setiap ciuman itu akan dibalas dengan pahala yang besar.

Mudah sahaja kan nak tambah pahala. Salah satu caranya ialah dengan mencium anak. Apa-apa pun, pastikan ciuman kita itu ikhlas. Barulah semua kebaikan yang ada pada setiap ciuman itu dapat disalurkan pada anak kita.

Hari ini anda sudah cium anak atau belum? Kalau belum, jangan lupa cium dan peluk erat dirinya sebelum dia melelapkan mata malam nanti ya. Selamat bercium!

Salam,
Jastina Ijjas

Monday 27 January 2014

ROMANTIK KE?

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Lebih kurang 3 minggu lalu, saya berkesempatan menghadiri majlis khas bersama media anjuran jenama minyak wangi Enchanteur Love. Majlis ini agak menarik kerana ia mendedahkan pelbagai taktik dalam membantu kita dan pasangan untuk mengukuhkan lagi kasih sayang yang sedia terjalin erat.

Sesi tersebut telah dikendalikan oleh selebriti Jojo Struys. Wanita cantik yang saya kenali sebagai Jojo  ini memberi penekanan terhadap kepentingan meluangkan masa berkualiti, memberikan hadiah, bercuti berdua, bersentuhan secara fizikal dan beberapa faktor lain  untuk menyemarakkan lagi rasa romantik, cinta, kasih dan sayang.

Jojo juga menjelaskan kepentingan berbau wangi agar dapat membangkitkan rasa romantik. Semua itu kita boleh dapati dalam rangkaian Enchanteur Love Eau De Toilette pada harga yang sangat berpatutan. Sesi ini turut dihadiri duta Enchanteur Love iaitu Sazzy Falak dan Nazril Idrus yang telah berkongsi beberapa tip mengekalkan hubungan romantik mereka.

Di kemuncak majlis, kesemua petugas media yang hadir telah diberikan sekeping kad berwarna merah jambu dan dikehendaki mencatat momen romantik yang pernah berlaku dalam hidup. Pening juga dibuatnya bila memikirkan apa momen yang boleh saya katakan sebagai romantik. 

Mahu atau tidak, saya terpaksa mengembalikan kad tersebut seperti yang dipinta. Sudahnya, saya mencatat kenangan memaksa suami melakukan pencarian hadiah sempena ulang tahun kelahiran suami. Saya lakukannya dengan melekatkan nota-nota pencarian di beberapa lokasi di dalam rumah. Ia ala-ala Amazing Race. Bagi saya ia biasa-biasa sahaja dan tidaklah sampai layak dikategorikan sebagai romantik.

Sungguh tidak disangka, saya terpilih sebagai salah seorang pemenang. Hadiah yang saya terima ialah beg comel daripada Enchanteur Love dan baucer aiskrim Haagen Dazs.

Apa-apa pun, ada ilmu yang pelajari dari majlis ini. Saya akan cuba praktikkan apa yang telah dikongsikan oleh Jojo, Sazzy dan Nazril dalam memastikan ikatan perkahwinan  saya dan suami kekal hingga hujung nyawa. Doa saya, biarlah hanya ajal yang memisahkan kami berdua. Amin.

Dalam masa yang sama, saya ingin berterima kasih kepada kakak Editor majalah Lisa yang turut memenangi hadiah yang sama. Saya mahu "mencuri" atau lebih manis saya katakan sebagai berkongsi ideanya untuk melakukan kejutan pada suami sempena ulang tahun perkahwinan 1 dekad kami pada Ogos akan datang. Semoga umur kami masih panjang dan diberikan kesihatan berterusan untuk melalui saat 6 Ogos kelak. In sha Allah.

Saya tidak boleh dedahkan apa idea tersebut. Nanti encik suami tahu rahsianya pula sebelum tiba masa. Tak surpriselah nanti dan dah tak romantiklah... Tiba masanya nanti, saya janji akan dedahkan kesemuanya. Mungkin idea yang sama boleh anda "cedok" pula kelak. 

Salam,
Jastina Ijjas

"ULTRAMAN TAK SAMA ALLAH!"

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin

Salam,

Sedang saya sekeluarga asyik menjamu selera hujung minggu yang lalu, tiba-tiba Nabiha menegur saya, "Mommy, jangan ajar Nail, Ultraman tau! Tak bagus. Allah yang lebih kuat daripada Ultraman, Lagipun, Ultraman kan tak wujud..."

Saya tersentak. Kebetulan, sewaktu Nabiha menegur itu, televisyen yang sengaja dibiarkan terpasang baru sahaja memulakan siaran program Ultraman. Tidak sangka, dia tiba-tiba teringat tentang kekuasaan Allah SWT ketika terpandang intro program itu lalu menegur saya.

Saya tahu tegurannya itu demi kebaikan bersama. Saya terima teguran anak kecil ini. Selama ini, saya memang suka bergurau dengan Nail dan berpura-pura menjadi Ultraman dengan melakukan gaya silang tangan yang biasa dilakukan oleh adiwira kegemaran kanak-kanak cilik ini. Daddynya pun kadang-kadang melakukan perkara yang serupa.

Sebenarnya, kami sekadar bergurau tanpa ada niat lain di sebaliknya. Lagipun, melihat keletah Nail yang akan ketawa menggelekek membuatkan hati ini rasa senang. Nail kini semakin membesar. Dia sudah faham akan sesuatu dan mula suka bergurau senda.

Bila difikirkan memang betul kata Nabiha. Sesungguhnya hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa. Tiada apa dan sesiapa pun yang lebih kuat daripadaNya. Maafkan mommy ya sayang, Nabiha dan Nail. Mommy terlepas pandang dan ambil ringan berkenaan hal ini.

Walau bagaimanapun, saya tidak sama sekali menidakkan kekuasaan Allah SWT. Bagi saya semua ini adalah antara fasa-fasa dalam perkembangan diri kanak-kanak. Nabiha dahulu pun suka menonton adiwira ciptaan manusia dan pernah menjadikannya sebagai idola. Dia juga suka Ultraman... Ultraman Tiga. Waktu itu umurnya baru 4... 5 tahun.

Apa-apa pun terima kasih ya Nabiha kerana menyedarkan mommy dari lamunan. Kamu dah makin dewasa walaupun belum cecah 9 tahun. Kamu semakin hari, semakin berakal. Semoga kamu terus istiqamah dalam mendalami ilmu tauhid dan akidah. Doa mommy sentiasa mengiring kamu dan kamu... Nabiha dan Nail. Amin ya Rabb.

Salam,
Jastina Ijjas

Thursday 23 January 2014

COKLAT & SUSU IBU

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin
Foto: Sumber google

Salam,

Apabila rasa gembira, tanpa sedar, kita sebenarnya sedang membantu tubuh untuk menghasilkan lebih banyak susu.

Secara logiknya, perasaan gembira itu, menghalang kita daripada mengalami stres yang dipercayai boleh menjadi penyebab proses penyusuan susu ibu terjejas.

Perasan tak? Setiap kali mengepam, kita digalakkan melihat foto atau video anak kita. Logik di sebaliknya ialah amalan ini mencetuskan hormon gembira iaitu hormon oksitosin. Semakin banyak hormon oksitosin dirembes, semakin gembiralah kita. Secara tidak langsung, ia merangsang tubuh untuk melancarkan proses penghasilan susu ibu. 

Salah satu cara untuk sentiasa rasa gembira ialah makan coklat. Itu info yang saya peroleh daripada Siti Nur Suraya Mohamed Ali, salah seorang IBCLC di Malaysia. Menurut Suraya dan pemahaman saya, coklat mengandungi phenylethymine (PEA) iaitu sejenis bahan kimia yang berkaitan dengan cinta. PEA menghasilkan neurochemical dopamin yang boleh merangsang pengeluaran hormon oksitosin.

Wah! Senang kan? Kita akan rasa gembira bila makan coklat. Kita boleh pilih sama ada mengambil bar coklat, minuman coklat atau apa sahaja jenis makanan yang dihasilkan daripada coklat seperti biskut dan seumpamanya. Yummy!!! 

Walau apa pun, sentiasa ingat ya kepada konsep asas penyusuan susu ibu. Semakin kerap payu dara dikosongkan, semakin banyak susu dapat dihasilkan. Oleh sebab itu, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada rasa gembira dengan memakan coklat.

Apa kata anda cuba petua ini. Kerap kosongkan payu dara + makan coklat untuk rasa gembira. Pasti hasilnya memberangsangkan. Bila dah cuba dan nampak hasilnya, mungkin anda boleh beri komen di entri ini nanti. Jadi, dapatlah kita sama-sama berkongsi ilmu untuk memantapkan amalan penyusuan susu ibu.

Salam,
Jastina Ijjas

DUIT "SELIT-SELIT"

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com

Salam,

Dalam waktu rehat makan tengah hari tadi, saya dan tiga orang rakan sekerja tanpa sengaja membangkitkan isu duit “selit-selit”. Semuanya berpunca daripada salah seorang daripada kami memberitahu, yang dia tidak sedar di dalam dompetnya tiada duit mencukupi untuk membayar caj parkir ketika bertugas di luar pejabat.

Dia juga mendedahkan bahawa suaminya sering kali berpesan untuk meninggalkan not RM50 di dalam kereta untuk kecemasan. Ya... bagi saya, memang betul tindakan yang dilakukan oleh suaminya itu. Kecuaian yang lebih kurang sama pernah berlaku kepada kawan saya. Akibatnya, kawan saya itu  terpaksa meminjam RM10 daripada juruwang di sebuah stesen petrol setelah mendapati dompetnya tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar tol.

Belajar daripada kesilapan itu, saya sendiri memang ada menyorokkan duit “selit-selit” di dalam kereta. Tujuan utamanya ialah ia dapat digunakan apabila berlaku hal-hal kecemasan seperti yang berlaku kepada dua orang kawan saya ini. Tak dapat saya bayangkan bagaimanakah agaknya rupa cuak saya kalau situasi sebegini terjadi pada diri sendiri. Jika ada orang lain bersama kita, selamat! Kalau seorang diri, nasib badanlah jawabnya...

Dalam pada itu, bagi mengelakkan duit itu diketahui oleh orang yang tidak sepatutnya atau dalam erti kata lain, si penyamun, saya masukkan duit simpanan kecemasan ke dalam bekas gulungan filem (bekas filem Kodak, Fuji dan seumpama dengannya) yang berwarna hitam. Kemudian saya tempatkannya di dalam laci dashboard.

Dengan cara ini, saya berharap si penyamun (jika tidakdirkan perlu melalui pengalaman pahit ini) tidak tahu di dalam bekas gulungan filem ini sebenarnya mengandungi duit. Walaupun jumlah duit yang ada di dalamnya tidak seberapa... saya pasti ia pasti disambar juga oleh si penyamun tidak kira berapa pun jumlahnya.

Terpulanglah, sama ada mahu menyelitkan duit syiling atau ringgit. Simpan dalam jumlah yang memadai. Jangan terlalu banyak dan jangan pula terlalu kurang. Alamak! Saya dah terbocor rahsia sendiri. Nampak gaya, kenalah saya mengubah strategi. Duit itu kenalah saya simpan di dalam bekas yang lain pula...

Tapi tak mengapa. Saya cuma mahu berkongsi tip yang ada. Nasihat saya,  jangan lupa “selitkan” duit kecemasan di dalam bekas dan lokasi yang difikirkan bersesuaian. Selamat beramal!

Salam,
Jastina Ijjas

Wednesday 22 January 2014

PERKENAL TELUR DI USIA 8 BULAN

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin
Foto: Sumber google


Salam,

Saya sangat teruja untuk berkongsi info berkenaan isu ini. Sebabnya ada di kalangan saudara-mara saya yang beranak kecil tidak didedahkan dengan info ini dengan lebih lanjut. Kebanyakannya tidak tahu yang kita perlu beri anak makan telur seawal usia 8 bulan.

Langkah memperkenalkan telur perlu dilakukan kerana, pada usia anak kita genap setahun, dia akan menerima suntikan 3 serangkai atau lebih dikenali sebagai MMR iaitu campuran 3 jenis virus yang dilemahkan untuk melawan demam campak, beguk dan rubella. 

Antara kandungan dalam virus ini ialah TELUR. Oleh kerana itulah, sejak dari awal kita perlu perkenalkan bayi dengan telur atau makanan yang mengandungi telur agar dapat diketahui reaksi alahannya jika ada. 

Sememangnya saya tidak pernah tahu bahawa sebelum menerima suntikan MMR, ibu perlu tahu sama ada bayinya alah kepada telur ataupun tidak. Hal ini penting untuk kita ambil peduli kerana jika bayi kita diketahui alah kepada telur, proses suntikan MMR terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Ini info yang saya peroleh daripada jururawat yang menyuntik MMR kepada Nail. 

Apabila diselidik dengan lebih lanjut menerusi pencarian maklumat di Internet, saya dapati ada juga bayi yang menerima suntikan MMR pada tarikh temujanji yang telah ditetapkan. Bagi mengelakkan sebarang komplikasi selepas suntikan, bayi akan dimasukkan dalam wad selama 6 jam untuk pemantauan.  

Sungguh! Saya baru tahu tentang hal ini (sewaktu sesi suntikan MMR Nail, 7 bulan lepas). Ketika mendapatkan suntikan imunisasi MMR untuk Nabiha dahulu, saya tidak tahu pun yang saya perlu perkenalkan dia dengan makanan berasaskan telur.

Saya memang tidak ajar Nabiha ataupun Nail makan telur. Mujurlah mereka berdua bertuah kerana tidak mempunyai alahan kepada telur. Jika tidak, tak dapat saya bayangkan keadaan yang mungkin perlu mereka hadapi.
Berikut saya kongsikan panduan asas yang saya kumpul dalam mengajar anak makan telur. Ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat. Jadi, mudah untuk kita tahu anak ada alahan pada telur ataupun sebaliknya. 

Minggu pertama
1 sudu besar telur kuning yang dimasak sepenuhnya dicampurkan ke dalam bubur. Sebagai permulaan bagi 1 kali seminggu. Jika anak didapati mengalami alahan seperti kemerah-merahan di dalam mulut atau badannya, hentikan buat sementara waktu untuk tempoh seminggu.

Minggu ke-2
Jika tidak mengalami alahan, teruskan di minggu kedua. Minggu ini dia sudah boleh makan 1 sudu besar telur kuning yang dimasak sepenuhnya dicampurkan ke dalam bubur sebanyak 2 kali.

Minggu ke-3
Keseluruhan telur kuning yang dimasak sepenuhnya yang dicampur ke dalam bubur sekali sehari.

Minggu ke-4
Keseluruhan telur kuning yang dimasak sepenuhnya yang dicampur ke dalam bubur dua kali sehari.

Minggu ke-5
1 biji telur kuning dan 1 sudu besar telur putih dimasukkan ke dalam bubur, sekali sehari.

Minggu ke-6
1 biji telur kuning dan 1 sudu besar telur putih dimasukkan ke dalam bubur,  2 kali sehari

Minggu ke-7
Keseluruhan sebiji telur yang dimasukkan ke dalam buburnya sekali sehari

Minggu ke-8
Keseluruhan sebiji telur yang dimasukkan ke dalam buburnya 2 kali sehari.

Tuesday 21 January 2014

FAHAMI KONSEP ASAS PENYUSUAN SUSU IBU

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google

Salam,

Dalam menjayakan PENYUSUAN SUSU IBU, kita perlu faham konsep asasnya. Ingat ya! Semakin kerap kita menyusukan bayi, semakin banyak susu ibu dapat dihasilkan. Faktornya berpunca daripada payu dara yang kerap dikosongkan. Ia akan menyebabkan otak mengerah sistem tubuh untuk menghasilkan lebih banyak susu ibu.

Ia kedengaran mudah tetapi tanpa pelaksanaan yang betul dan jitu, impian kita untuk menyusukan bayi pasti musnah. Oleh sebab itulah, sewaktu di awal episod penyusuan Nail, saya kerap mengosongkan payu dara dengan mengepam susu.



Inilah contoh imej pam payu dara yang saya gunakan sejak dari zaman Nabiha lagi. Memang berbaloi pelaburan yang saya lakukan.
Saya lakukannya setiap 2 jam tanpa gagal. Sebenarnya saya mengikut rentak penyusuan Nail ketika berada di rumah. Biasanya dia menyusu setiap 2 jam. Oleh kerana tidak mahu penghasilan susu terjejas, jadi saya tegar melakukannya. Biarpun kerap keluar menjalani tugasan, saya akan pastikan payu dara dikosongkan tidak melebihi 3 jam.

Nampak macam remeh apatah lagi dengan tugas saya yang perlu ke sana ke mari mencari bahan untuk dimuatkan dalam majalah. Bagi saya, ia sama sekali tidak pernah menyusahkan diri ini sebab saya memang berazam untuk menyusukan Nail dengan susu ibu sepenuhnya.

Saya akan pam bila tiba waktunya. Jika berada di luar kawasan pejabat, saya memilih untuk pam di dalam kereta, surau dan bilik penyusuan susu ibu. Ada juga waktunya jika tidak bernasib baik, saya terpaksa pam di dalam tandas. Walau bagaimanapun, saya hanya memilih tandas yang berkeadaan bersih.

Biasanya tandas yang dipilih ialah tandas yang menyediakan ruang solekan. Di situ, saya lebih selesa untuk mengepam biarpun sebenarnya ketika itu saya berada di dalam tandas. Oh! maafkan mommy ya Nail. Mommy tak ada pilihan lain masa itu.  

Saya akan lakukan apa sahaja asalkan mampu merangsang tubuh untuk menghasilkan lebih banyak susu untuk keperluan Nail. Saya akui, dalam enam bulan pertama selepas Nail lahir, saya begitu taksub. Ke mana sahaja saya pergi, beg pam payu dara dan kelengkapan yang lainnya pasti ada bersama. Termasuklah bekas berisi 2 liter air. Jika diimbas, keadaan saya ketika itu, bahu dan tangan sentiasa sarat dengan pelbagai barangan yang dipegang dalam satu-satu masa.

Saya tidak kisah dengan penampilan sebegitu. Apa yang saya tahu, cukup sahaja 2 jam atau paling lama 3 jam, saya wajib kosongkan payu dara demi memastikan tubuh menghasilkan susu ibu secara konsisten.

Jadi, kepada anda yang baru berjinak-jinak dengan dunia penyusuan susu ibu, nasihat saya sebagai orang yang ada sedikit pengalaman ini ialah fahami konsep asas penyusuan susu ibu iaitu KERAP KOSONGKAN PAYU DARA AGAR LEBIH BANYAK SUSU DAPAT DIHASILKAN. In sha Allah, usaha kita akan dipermudahkanNya. Amin.

Salam,
Jastina Ijjas

SEDEKAHKAN AL-FATIHAH SETIAP HARI

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin
Foto: Sumber google

Salam,


Di dalam surah AL-FATIHAH terkandung banyak ilmu berharga jika kita benar-benar fahami maksudnya. Ada tujuh ayat kesemuanya. Di sini, saya tampilkan terjemahan surah berdasarkan setiap ayat. Saya peroleh terjemahan ini daripada pencarian di Internet. Mari kita sama-sama fahami setiap satu terjemahan ayat dan jadikannya sebagai asas panduan kehidupan. 

Ayat 1: Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ayat 2: Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Ayat 3: Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Ayat 4: Yang menguasai hari pembalasan.

Ayat 5: Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.

Ayat 6: Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

Ayat 7: (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.


Lazimnya kita baca surah ini ketika bersolat ataupun sebelum memulakan doa bukan? Tidak sekadar itu, saya membiasakan diri untuk bersedekah surah al-Fatihah setiap hari. Biasanya saya lakukannya di waktu pagi. Sambil berjalan mendukung Nail untuk dihantar ke rumah pengasuhnya, saya akan membaca surah ini dalam nada yang hanya boleh didengari oleh kami berdua. Bimbang juga jika dibaca terlalu kuat sehingga mengganggu pendengaran orang lain.

Setelah lengkap membaca tujuh ayat surah ini, saya terus menyusun ayat untuk menyedekahkannya kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat. Diikuti arwah abah, mak, suami, diri saya sendiri, Nabiha dan Nail.

Dalam masa yang sama, saya turut memohon agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kami setiap hari dan menempatkan arwah abah di kalangan orang-orang yang beriman. Bagi yang masih hidup ini, saya bermohon agar kami diberi keberkatan hidup, dimurahkan rezeki dan jika loh mahfuz dicatatkan kegagalan pada hari itu, maka tukarkanlah ia kepada kejayaan.  

Saya mula menyedari untuk istiqamah memberikan sedekah al-Fatihah kepada Baginda Rasulullah SAW setiap hari setelah mendengar ceramah daripada seorang ustaz di kaca televisyen. Katanya, kita sering lalai sedangkan amalan ini sungguh mudah. Jika selalu dibuat, pasti ia menjadi kebiasaan. Yang penting, kita mesti istiqamah dalam melakukannya.  

Benar kata ustaz yang menyampaikan ceramah itu. Bagi saya ia mudah sahaja. Hanya ambil masa tidak sampai 5 minit pun. Dan saya lakukannya ketika berjalan. Senang bukan? Yang penting kita perlu ikhlas dan sentiasa berterusan dalam melakukannya.

Saya tidak berpeluang melakukan amalan sedekah ini bersama Nabiha yang lebih berakal kerana setiap pagi dia ke sekolah bersama daddynya. Jadi, saya gunakan kesempatan bersama Nail untuk melakukannya. Saya sangat berharap dengan kebiasaan yang telah saya terapkan pada Nail ini dapat dijadikan amalannya pada masa akan datang.

Ya! Saya mahu anak-anak sentiasa mendoakan doa kebaikan dan kesejahteraan buat saya dan suami. Jika boleh setiap hari, sama seperti yang saya lakukan bersamanya saban hari. Amin... Semoga Nail dan Nabiha menjadi anak yang soleh dan solehah seperti yang didambakan oleh kebanyakan ibu bapa.

Salam,
Jastina Ijjas

YANG PERTAMA DALAM ISLAM

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Sewaktu kecil dahulu, saya pasti kita semua didedahkan dengan pelbagai nama orang Barat yang menjadi pencipta pertama itu dan ini. Kalau disebut pencipta telefon, kita tahu dia adalah Alexander Graham Bell. Pencipta kapal terbang pertama, sudah tentu Wright bersaudara menjadi jawapan kita.

Bagaimana pula dengan sejarah orang-orang yang digelar PERTAMA di kalangan orang Islam. Tidak banyak yang kita tahu bukan? Ketika menerima mesej WhatsApp dalam grup yang terdiri di kalangan saudara mara sebelah mak, saya terkesima. Malu pun ada. Sebab ada di antara info yang saya terima itu, baru sahaja saya ketahui.

Salah satunya ialah orang pertama yang menulis kalimah Bismillah. Tahu tak jawapannya? Kalau anda tahu, saya tabik hormat. Sebab saya baru tahu bahawa Nabi Sulaiman AS adalah insan pertama yang melakukannya.

Mujurlah anak-anak terutamanya Nabiha belum pernah bertanyakan soalan-soalan seperti ini. Kalau tidak, pasti saya hilang punca. Dengan info yang diperoleh itu, kini dapatlah saya dapat mempersiapkan diri sendiri.

Demi memastikan info yang diperoleh ini tidak hilang dan pada masa yang sama dapat dijadikan perkongsian dengan yang lain-lain, maka saya susunkan senarai Yang Pertama Dalam Islam. Semoga info ini dapat memberi manfaat untuk kita semua dalam mendidik anak-anak untuk mengenali cabang-cabang Islam dengan lebih mendalam.

Yang Pertama Dalam Islam
1. Orang pertama menjadi khalifah Islam
Abu Bakar As Siddiq RA

2. Orang pertama menggunakan tarikh Hijrah
Umar bin Al-Khattab

3. Orang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah
Saiditina Hajjar

4. Orang pertama menyusukan Rasulullah SAW
Thuwaibah RA

5. Orang pertama syahid di kalangan lelaki
Al-Harith bin Abi Halah

6. Orang pertama syahid di kalangan wanita
Sumayyah binti Khabbat

7. Orang pertama menulis hadis di dalam kitab
Abdullah bin Amru bin Al-Ash

8. Orang pertama bergelar muazzin dan melaungkan azan
Bilal bin Rabah

9. Orang pertama membuat mimbar Masjid Nabi
Tamim Ad-dary

10. Orang pertama menulis sejarah Nabi Muhammad SAW
Ibban bin Othman bin Affan

11. Orang pertama membina penjara
Ali bin Abi Tholib

12. Orang pertama membina perpustakaan awam
Harun Ar-Rasyid

13. Orang pertama menghafaz al-Quran selepas Rasulullah SAW
Ali bin Abi Tholib

14. Orang pertama membina menara di Masjidil Haram di Mekah
Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur

15. Orang pertama dipanggil di hari kiamat
Nabi Adam AS

16. Orang pertama akan masuk syurga
Nabi Muhammad SAW

Semoga perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. In sha Allah...

Salam,
Jastina Ijjas