Friday 31 January 2014

NAMA OH NAMA

Teks: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Tugas saya tdak hanya terbatas sebagai penulis majalah. Saya telah diajar untuk menjadi seorang yang multi-tasker. Jadi, ada ketikanya, saya akan "turun" padang membantu mempromosikan majalah. Salah satu event yang sering Pa&Ma sertai ialah expo Maternity & Children anjuran TCE. Dalam setahun, dua kali akan berkampung selama 3 hari di Mid Valley Exhibition Centre. 

Minggu sudah, saya bertugas di meja pendaftaran untuk  Pertandingan Prince & Princess Pa&Ma 2014 dan Peraduan Bijak Puzzle Pa&Ma. Di kesempatan itu, saya berpeluang untuk "mengenali" pelbagai nama bayi dan kanak-kanak. Ada yang pendek - ringkas, panjang berjela, mudah disebut dan tidak kurang juga sehingga terbelit-belit lidah dibuatnya. 

Ketika studio foto hampir ditutup pada hari terakhir Pertandingan Prince & Princess Pa&Ma 2014 kerana waktu itu sudah menjangkau jam 1 petang, tiba-tiba saya didatangi seorang ibu yang merayu-rayu mahu menyertai pertandingan itu. Setelah berbincang dengan rakan sekerja, kami terima juga penyertaannya. 

Ketika sesi foto berlangsung, baru saya perasan yang ibu ini adalah orang yang sama pernah menyertai Pertandingan Si Manja Fotogenik di expo terdahulu. Saya pernah menegurnya dengan memberi cadangan untuk menukar nama anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) lantaran dia mengambil masa untuk mengisi borang kerana tidak pasti ejaan nama anaknya. Sudahlah nama anaknya itu panjang. Ada empat nama kemudian susah pula ejaannya. 

Saya sendiri tak berupaya nak mengingat nama anaknya apatah lagi ingat ejaannya. Simpati saya pada anaknya itu. Di masa akan datang, pasti dia juga akan menghadapi situasi yang sama seperti ibunya iaitu terlupa ejaan nama sendiri. 

Menyentuh tentang hal nama ini, sebenarnya saya pun pernah melakukan kesilapan dengan memberi ejaan nama yang kononnya unik untuk Nabiha. Maafkan mommy ya Nabiha. Nama pertama yang didaftarkan untuknya ialah Nabiha Ie'sya. Selepas saya mendapati orang lain sukar menyebut namanya dengan betul, saya terus menukar namanya kepada ejaan yang lebih mudah dan senang disebut iaitu Nabiha Ai'sha. 

Mujur saya didorong menukar nama ketika Nabiha belum mencecah umur setahun. Jadi, proses pertukaran namanya lancar tanpa ada sebarang masalah. Jika anak kecil yang melebihi 1 tahun mahu menukar nama, prosesnya agak memakan masa kerana perlu mengangkat sumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah terlebih dahulu sebelum nama baru boleh didaftarkan di JPN. 

Kesilapan yang sama tidak mahu saya ulangi lagi. Saya serik. Pemilihan nama Nail dilakukan sejak dari awal. Kali ini saya dan suami mahu nama anak kami disebut dalam dua suku kata sahaja. Untuk memastikan kesinambungan nama N... A... kami pilih Nail Ariq sebagai nama untuk anak kedua kami.

In sha Allah, jika rezeki anak bertambah lagi, kami sudah ada senarai nama untuk bayi lelaki dan perempuan. Yang pasti nama-nama N... dan A... itu akan disebut dalam dua suku kata juga. Cuma kami belum lagi gabungkan nama N... dan A... bagi mendapatkan maksud nama yang baik dan bagus. 

Belajar daripada kesilapan sendiri dan seboleh-bolehnya tidak mahu kesalahan yang sama dilakukan oleh orang-orang yang terdekat mahupun anda yang membaca entri ini, saya nasihatkan pilihlah nama yang baik, senang disebut dan mudah dieja. 

Janganlah kita menyusahkan si anak dengan memberikan nama yang sukar dieja ataupun terlalu panjang hanya kerana mahu ia lain daripada yang lain. Susah nak isi namanya dalam borang nanti. Bayangkan juga bagaimana agaknya situasi bakal suami anak itu di kala mahu diakad nikah jika namanya panjang dan susah nak disebut. Mesti semput dibuatnya.

Jadi, renung-renungkan... dan selamat memilih nama yang sesuai...   

Salam,
Jastina Ijjas

Thursday 30 January 2014

DELIMA PUNYA KHASIAT HEBAT

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin
Foto: Sumber google


Salam,

Buah delima adalah salah satu daripada makanan sunah. Oleh kerana itulah, buah ini sangat baik untuk kita kerana ia kaya dengan khasiat untuk kesihatan. Malah, orang-orang tua kata, sebaik-baiknya sebiji delima dimakan oleh satu orang (tanpa dikongsi dengan orang lain) sehingga habis kerana setiap satu butir isi buah delima ini mempunyai khasiatnya tersendiri.

Sejak dari dahulu, saya memang suka makan delima. Masa saya kecil, susah juga nak dapat buah ini. Ada musimnya... Biasanya ia dapat dibeli jika kami sekeluarga ke Jalan TAR bila musimnya tiba. Waktu itu, arwah abah pasti akan beli beberapa biji buah delima untuk kami makan sekeluarga. Kalau bernasib baik, dapatlah makan delima yang manis. Kalau tidak, buah yang masam-masam manis itu dimakan juga sebab saya berpegang kepada kata orang-orang tua seperti yang saya katakan tadi.

Masa saya mengandung dahulu pun, saya suka makan buah delima walaupun tidak selalu. Melalui pembacaan, saya tahu buah delima dapat membantu anak yang saya kandungi itu menjadi bayi yang sihat dan cerdas.

Tambahan pula, delima juga sangat kaya dengan kandungan asid folik. Jadi, ia membantu saya dan para ibu hamil yang lain mencegah kecacatan tiub saraf pada bayi. Satu lagi kebaikan delima untuk wanita hamil ialah jus delima yang diambil secara berterusan dapat mengelakkan masalah kejang kaki yang biasa dihadapi terutamanya di akhir trimester kehamilan.

Sehubungan itu, untuk makluman, saya dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai sejarah kanser. Dua orang makcik saya dari sebelah mak menghidap kanser payu dara. Melalui "risikan" yang dilakukan di Internet, saya didedahkan yang buah delima dapat membantu saya mengurangkan faktor risiko.

Dengan kandungan antioksidan yang tinggi dalam buah delima, ia dapat membantu kita melawan melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel tubuh. Info yang saya dapat itu juga menyatakan delima mengandungi antioksidan, dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding anggur merah.

Delima bukan sekadar untuk mengurangkan risiko kanser payu dara sahaja ya. Malah untuk kanser-kanser lain juga. Saya tak ingat statistiknya tetapi banyak kajian telah membuktikan khasiat buah delima dalam hal-hal berkaitan kanser seperti paru-paru dan prostat.

Banyak lagi kebaikan delima kepada kesihatan kita selain daripada apa yang saya nyatakan ini. Delima kan makanan sunah? Sudah tentu ia baik untuk kita semua. Jom, kita praktikkan amalan sunah dengan menjadikan amalan memakan buah delima sebagai salah satu daripadanya.

Dalam entri yang akan datang, saya akan kongsikan panduan untuk mengeluarkan buah delima sebiji demi sebiji agar senang dimakan. Caranya mudah sahaja. Nantikan ya...

Salam,
Jastina Ijjas

Tuesday 28 January 2014

CIUMAN SUMBER PAHALA

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google

Salam,

Geramnya tengok baby ni. Kalaulah dapat cium dia...
Seronok bukan setiap kali dapat cium anak-anak? Lebih-lebih lagi, anak-anak kecil. Tambah terharu bila setiap kali kita cium anak-anak, mereka akan membalasnya dan disertai dengan pelukan erat. Pastinya terselit suatu perasaan yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Saya memang suka cium budak-budak. Kalau yang gebot (perkataan yang sering saya gunakan untuk si kecil yang bertubuh montel dan gebu), rasa seperti mahu gigit sahaja.

Nabiha waktu kecilnya memang gebot. Memang selalulah kena cium dan di"gigit" manja terutamanya di bahagian pipi dan peha. Sayang sekali Nail hanya berisi untuk tempoh yang singkat. Apabila usianya makin bertambah dan banyak kemahiran baru yang dikuasai, tubuhnya semakin hari semakin susut. Dia bernasib baik kerana saya jarang menggigitnya tetapi ciuman tidak pernah lekang untuknya.

Ciuman memang bagus dalam perkembangan diri dan kesihatan anak-anak. Antara yang paling saya ingat ialah menguatkan daya ketahanan tubuh. Bukan cium anak sahaja, malah jika cium orang dewasa pun, sistem imunisasi tubuh dapat diperkukuhkan.

Malah, dengan memberi ciuman juga, kita secara tidak langsung, menambah penghasilan air liur. Keadaan ini sangat bermanfaat kerana ia dapat menjadikan mulut, gigi dan gusi kekal sihat. Memandangkan ciuman meningkatkan daya tahan badan, jadi jangkitan pada mulut dapat kita elakkan.

Selain baik untuk kesihatan, ia juga baik untuk saham akhirat. Allah SWT sudah menyatakan bahawa sesiapa yang mencium anaknya, setiap ciuman itu akan dibalas dengan pahala yang besar.

Mudah sahaja kan nak tambah pahala. Salah satu caranya ialah dengan mencium anak. Apa-apa pun, pastikan ciuman kita itu ikhlas. Barulah semua kebaikan yang ada pada setiap ciuman itu dapat disalurkan pada anak kita.

Hari ini anda sudah cium anak atau belum? Kalau belum, jangan lupa cium dan peluk erat dirinya sebelum dia melelapkan mata malam nanti ya. Selamat bercium!

Salam,
Jastina Ijjas

Monday 27 January 2014

ROMANTIK KE?

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Lebih kurang 3 minggu lalu, saya berkesempatan menghadiri majlis khas bersama media anjuran jenama minyak wangi Enchanteur Love. Majlis ini agak menarik kerana ia mendedahkan pelbagai taktik dalam membantu kita dan pasangan untuk mengukuhkan lagi kasih sayang yang sedia terjalin erat.

Sesi tersebut telah dikendalikan oleh selebriti Jojo Struys. Wanita cantik yang saya kenali sebagai Jojo  ini memberi penekanan terhadap kepentingan meluangkan masa berkualiti, memberikan hadiah, bercuti berdua, bersentuhan secara fizikal dan beberapa faktor lain  untuk menyemarakkan lagi rasa romantik, cinta, kasih dan sayang.

Jojo juga menjelaskan kepentingan berbau wangi agar dapat membangkitkan rasa romantik. Semua itu kita boleh dapati dalam rangkaian Enchanteur Love Eau De Toilette pada harga yang sangat berpatutan. Sesi ini turut dihadiri duta Enchanteur Love iaitu Sazzy Falak dan Nazril Idrus yang telah berkongsi beberapa tip mengekalkan hubungan romantik mereka.

Di kemuncak majlis, kesemua petugas media yang hadir telah diberikan sekeping kad berwarna merah jambu dan dikehendaki mencatat momen romantik yang pernah berlaku dalam hidup. Pening juga dibuatnya bila memikirkan apa momen yang boleh saya katakan sebagai romantik. 

Mahu atau tidak, saya terpaksa mengembalikan kad tersebut seperti yang dipinta. Sudahnya, saya mencatat kenangan memaksa suami melakukan pencarian hadiah sempena ulang tahun kelahiran suami. Saya lakukannya dengan melekatkan nota-nota pencarian di beberapa lokasi di dalam rumah. Ia ala-ala Amazing Race. Bagi saya ia biasa-biasa sahaja dan tidaklah sampai layak dikategorikan sebagai romantik.

Sungguh tidak disangka, saya terpilih sebagai salah seorang pemenang. Hadiah yang saya terima ialah beg comel daripada Enchanteur Love dan baucer aiskrim Haagen Dazs.

Apa-apa pun, ada ilmu yang pelajari dari majlis ini. Saya akan cuba praktikkan apa yang telah dikongsikan oleh Jojo, Sazzy dan Nazril dalam memastikan ikatan perkahwinan  saya dan suami kekal hingga hujung nyawa. Doa saya, biarlah hanya ajal yang memisahkan kami berdua. Amin.

Dalam masa yang sama, saya ingin berterima kasih kepada kakak Editor majalah Lisa yang turut memenangi hadiah yang sama. Saya mahu "mencuri" atau lebih manis saya katakan sebagai berkongsi ideanya untuk melakukan kejutan pada suami sempena ulang tahun perkahwinan 1 dekad kami pada Ogos akan datang. Semoga umur kami masih panjang dan diberikan kesihatan berterusan untuk melalui saat 6 Ogos kelak. In sha Allah.

Saya tidak boleh dedahkan apa idea tersebut. Nanti encik suami tahu rahsianya pula sebelum tiba masa. Tak surpriselah nanti dan dah tak romantiklah... Tiba masanya nanti, saya janji akan dedahkan kesemuanya. Mungkin idea yang sama boleh anda "cedok" pula kelak. 

Salam,
Jastina Ijjas

"ULTRAMAN TAK SAMA ALLAH!"

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin

Salam,

Sedang saya sekeluarga asyik menjamu selera hujung minggu yang lalu, tiba-tiba Nabiha menegur saya, "Mommy, jangan ajar Nail, Ultraman tau! Tak bagus. Allah yang lebih kuat daripada Ultraman, Lagipun, Ultraman kan tak wujud..."

Saya tersentak. Kebetulan, sewaktu Nabiha menegur itu, televisyen yang sengaja dibiarkan terpasang baru sahaja memulakan siaran program Ultraman. Tidak sangka, dia tiba-tiba teringat tentang kekuasaan Allah SWT ketika terpandang intro program itu lalu menegur saya.

Saya tahu tegurannya itu demi kebaikan bersama. Saya terima teguran anak kecil ini. Selama ini, saya memang suka bergurau dengan Nail dan berpura-pura menjadi Ultraman dengan melakukan gaya silang tangan yang biasa dilakukan oleh adiwira kegemaran kanak-kanak cilik ini. Daddynya pun kadang-kadang melakukan perkara yang serupa.

Sebenarnya, kami sekadar bergurau tanpa ada niat lain di sebaliknya. Lagipun, melihat keletah Nail yang akan ketawa menggelekek membuatkan hati ini rasa senang. Nail kini semakin membesar. Dia sudah faham akan sesuatu dan mula suka bergurau senda.

Bila difikirkan memang betul kata Nabiha. Sesungguhnya hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa. Tiada apa dan sesiapa pun yang lebih kuat daripadaNya. Maafkan mommy ya sayang, Nabiha dan Nail. Mommy terlepas pandang dan ambil ringan berkenaan hal ini.

Walau bagaimanapun, saya tidak sama sekali menidakkan kekuasaan Allah SWT. Bagi saya semua ini adalah antara fasa-fasa dalam perkembangan diri kanak-kanak. Nabiha dahulu pun suka menonton adiwira ciptaan manusia dan pernah menjadikannya sebagai idola. Dia juga suka Ultraman... Ultraman Tiga. Waktu itu umurnya baru 4... 5 tahun.

Apa-apa pun terima kasih ya Nabiha kerana menyedarkan mommy dari lamunan. Kamu dah makin dewasa walaupun belum cecah 9 tahun. Kamu semakin hari, semakin berakal. Semoga kamu terus istiqamah dalam mendalami ilmu tauhid dan akidah. Doa mommy sentiasa mengiring kamu dan kamu... Nabiha dan Nail. Amin ya Rabb.

Salam,
Jastina Ijjas

Thursday 23 January 2014

COKLAT & SUSU IBU

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin
Foto: Sumber google

Salam,

Apabila rasa gembira, tanpa sedar, kita sebenarnya sedang membantu tubuh untuk menghasilkan lebih banyak susu.

Secara logiknya, perasaan gembira itu, menghalang kita daripada mengalami stres yang dipercayai boleh menjadi penyebab proses penyusuan susu ibu terjejas.

Perasan tak? Setiap kali mengepam, kita digalakkan melihat foto atau video anak kita. Logik di sebaliknya ialah amalan ini mencetuskan hormon gembira iaitu hormon oksitosin. Semakin banyak hormon oksitosin dirembes, semakin gembiralah kita. Secara tidak langsung, ia merangsang tubuh untuk melancarkan proses penghasilan susu ibu. 

Salah satu cara untuk sentiasa rasa gembira ialah makan coklat. Itu info yang saya peroleh daripada Siti Nur Suraya Mohamed Ali, salah seorang IBCLC di Malaysia. Menurut Suraya dan pemahaman saya, coklat mengandungi phenylethymine (PEA) iaitu sejenis bahan kimia yang berkaitan dengan cinta. PEA menghasilkan neurochemical dopamin yang boleh merangsang pengeluaran hormon oksitosin.

Wah! Senang kan? Kita akan rasa gembira bila makan coklat. Kita boleh pilih sama ada mengambil bar coklat, minuman coklat atau apa sahaja jenis makanan yang dihasilkan daripada coklat seperti biskut dan seumpamanya. Yummy!!! 

Walau apa pun, sentiasa ingat ya kepada konsep asas penyusuan susu ibu. Semakin kerap payu dara dikosongkan, semakin banyak susu dapat dihasilkan. Oleh sebab itu, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada rasa gembira dengan memakan coklat.

Apa kata anda cuba petua ini. Kerap kosongkan payu dara + makan coklat untuk rasa gembira. Pasti hasilnya memberangsangkan. Bila dah cuba dan nampak hasilnya, mungkin anda boleh beri komen di entri ini nanti. Jadi, dapatlah kita sama-sama berkongsi ilmu untuk memantapkan amalan penyusuan susu ibu.

Salam,
Jastina Ijjas

DUIT "SELIT-SELIT"

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com

Salam,

Dalam waktu rehat makan tengah hari tadi, saya dan tiga orang rakan sekerja tanpa sengaja membangkitkan isu duit “selit-selit”. Semuanya berpunca daripada salah seorang daripada kami memberitahu, yang dia tidak sedar di dalam dompetnya tiada duit mencukupi untuk membayar caj parkir ketika bertugas di luar pejabat.

Dia juga mendedahkan bahawa suaminya sering kali berpesan untuk meninggalkan not RM50 di dalam kereta untuk kecemasan. Ya... bagi saya, memang betul tindakan yang dilakukan oleh suaminya itu. Kecuaian yang lebih kurang sama pernah berlaku kepada kawan saya. Akibatnya, kawan saya itu  terpaksa meminjam RM10 daripada juruwang di sebuah stesen petrol setelah mendapati dompetnya tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar tol.

Belajar daripada kesilapan itu, saya sendiri memang ada menyorokkan duit “selit-selit” di dalam kereta. Tujuan utamanya ialah ia dapat digunakan apabila berlaku hal-hal kecemasan seperti yang berlaku kepada dua orang kawan saya ini. Tak dapat saya bayangkan bagaimanakah agaknya rupa cuak saya kalau situasi sebegini terjadi pada diri sendiri. Jika ada orang lain bersama kita, selamat! Kalau seorang diri, nasib badanlah jawabnya...

Dalam pada itu, bagi mengelakkan duit itu diketahui oleh orang yang tidak sepatutnya atau dalam erti kata lain, si penyamun, saya masukkan duit simpanan kecemasan ke dalam bekas gulungan filem (bekas filem Kodak, Fuji dan seumpama dengannya) yang berwarna hitam. Kemudian saya tempatkannya di dalam laci dashboard.

Dengan cara ini, saya berharap si penyamun (jika tidakdirkan perlu melalui pengalaman pahit ini) tidak tahu di dalam bekas gulungan filem ini sebenarnya mengandungi duit. Walaupun jumlah duit yang ada di dalamnya tidak seberapa... saya pasti ia pasti disambar juga oleh si penyamun tidak kira berapa pun jumlahnya.

Terpulanglah, sama ada mahu menyelitkan duit syiling atau ringgit. Simpan dalam jumlah yang memadai. Jangan terlalu banyak dan jangan pula terlalu kurang. Alamak! Saya dah terbocor rahsia sendiri. Nampak gaya, kenalah saya mengubah strategi. Duit itu kenalah saya simpan di dalam bekas yang lain pula...

Tapi tak mengapa. Saya cuma mahu berkongsi tip yang ada. Nasihat saya,  jangan lupa “selitkan” duit kecemasan di dalam bekas dan lokasi yang difikirkan bersesuaian. Selamat beramal!

Salam,
Jastina Ijjas

Wednesday 22 January 2014

PERKENAL TELUR DI USIA 8 BULAN

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin
Foto: Sumber google


Salam,

Saya sangat teruja untuk berkongsi info berkenaan isu ini. Sebabnya ada di kalangan saudara-mara saya yang beranak kecil tidak didedahkan dengan info ini dengan lebih lanjut. Kebanyakannya tidak tahu yang kita perlu beri anak makan telur seawal usia 8 bulan.

Langkah memperkenalkan telur perlu dilakukan kerana, pada usia anak kita genap setahun, dia akan menerima suntikan 3 serangkai atau lebih dikenali sebagai MMR iaitu campuran 3 jenis virus yang dilemahkan untuk melawan demam campak, beguk dan rubella. 

Antara kandungan dalam virus ini ialah TELUR. Oleh kerana itulah, sejak dari awal kita perlu perkenalkan bayi dengan telur atau makanan yang mengandungi telur agar dapat diketahui reaksi alahannya jika ada. 

Sememangnya saya tidak pernah tahu bahawa sebelum menerima suntikan MMR, ibu perlu tahu sama ada bayinya alah kepada telur ataupun tidak. Hal ini penting untuk kita ambil peduli kerana jika bayi kita diketahui alah kepada telur, proses suntikan MMR terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Ini info yang saya peroleh daripada jururawat yang menyuntik MMR kepada Nail. 

Apabila diselidik dengan lebih lanjut menerusi pencarian maklumat di Internet, saya dapati ada juga bayi yang menerima suntikan MMR pada tarikh temujanji yang telah ditetapkan. Bagi mengelakkan sebarang komplikasi selepas suntikan, bayi akan dimasukkan dalam wad selama 6 jam untuk pemantauan.  

Sungguh! Saya baru tahu tentang hal ini (sewaktu sesi suntikan MMR Nail, 7 bulan lepas). Ketika mendapatkan suntikan imunisasi MMR untuk Nabiha dahulu, saya tidak tahu pun yang saya perlu perkenalkan dia dengan makanan berasaskan telur.

Saya memang tidak ajar Nabiha ataupun Nail makan telur. Mujurlah mereka berdua bertuah kerana tidak mempunyai alahan kepada telur. Jika tidak, tak dapat saya bayangkan keadaan yang mungkin perlu mereka hadapi.
Berikut saya kongsikan panduan asas yang saya kumpul dalam mengajar anak makan telur. Ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat. Jadi, mudah untuk kita tahu anak ada alahan pada telur ataupun sebaliknya. 

Minggu pertama
1 sudu besar telur kuning yang dimasak sepenuhnya dicampurkan ke dalam bubur. Sebagai permulaan bagi 1 kali seminggu. Jika anak didapati mengalami alahan seperti kemerah-merahan di dalam mulut atau badannya, hentikan buat sementara waktu untuk tempoh seminggu.

Minggu ke-2
Jika tidak mengalami alahan, teruskan di minggu kedua. Minggu ini dia sudah boleh makan 1 sudu besar telur kuning yang dimasak sepenuhnya dicampurkan ke dalam bubur sebanyak 2 kali.

Minggu ke-3
Keseluruhan telur kuning yang dimasak sepenuhnya yang dicampur ke dalam bubur sekali sehari.

Minggu ke-4
Keseluruhan telur kuning yang dimasak sepenuhnya yang dicampur ke dalam bubur dua kali sehari.

Minggu ke-5
1 biji telur kuning dan 1 sudu besar telur putih dimasukkan ke dalam bubur, sekali sehari.

Minggu ke-6
1 biji telur kuning dan 1 sudu besar telur putih dimasukkan ke dalam bubur,  2 kali sehari

Minggu ke-7
Keseluruhan sebiji telur yang dimasukkan ke dalam buburnya sekali sehari

Minggu ke-8
Keseluruhan sebiji telur yang dimasukkan ke dalam buburnya 2 kali sehari.

Tuesday 21 January 2014

FAHAMI KONSEP ASAS PENYUSUAN SUSU IBU

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google

Salam,

Dalam menjayakan PENYUSUAN SUSU IBU, kita perlu faham konsep asasnya. Ingat ya! Semakin kerap kita menyusukan bayi, semakin banyak susu ibu dapat dihasilkan. Faktornya berpunca daripada payu dara yang kerap dikosongkan. Ia akan menyebabkan otak mengerah sistem tubuh untuk menghasilkan lebih banyak susu ibu.

Ia kedengaran mudah tetapi tanpa pelaksanaan yang betul dan jitu, impian kita untuk menyusukan bayi pasti musnah. Oleh sebab itulah, sewaktu di awal episod penyusuan Nail, saya kerap mengosongkan payu dara dengan mengepam susu.



Inilah contoh imej pam payu dara yang saya gunakan sejak dari zaman Nabiha lagi. Memang berbaloi pelaburan yang saya lakukan.
Saya lakukannya setiap 2 jam tanpa gagal. Sebenarnya saya mengikut rentak penyusuan Nail ketika berada di rumah. Biasanya dia menyusu setiap 2 jam. Oleh kerana tidak mahu penghasilan susu terjejas, jadi saya tegar melakukannya. Biarpun kerap keluar menjalani tugasan, saya akan pastikan payu dara dikosongkan tidak melebihi 3 jam.

Nampak macam remeh apatah lagi dengan tugas saya yang perlu ke sana ke mari mencari bahan untuk dimuatkan dalam majalah. Bagi saya, ia sama sekali tidak pernah menyusahkan diri ini sebab saya memang berazam untuk menyusukan Nail dengan susu ibu sepenuhnya.

Saya akan pam bila tiba waktunya. Jika berada di luar kawasan pejabat, saya memilih untuk pam di dalam kereta, surau dan bilik penyusuan susu ibu. Ada juga waktunya jika tidak bernasib baik, saya terpaksa pam di dalam tandas. Walau bagaimanapun, saya hanya memilih tandas yang berkeadaan bersih.

Biasanya tandas yang dipilih ialah tandas yang menyediakan ruang solekan. Di situ, saya lebih selesa untuk mengepam biarpun sebenarnya ketika itu saya berada di dalam tandas. Oh! maafkan mommy ya Nail. Mommy tak ada pilihan lain masa itu.  

Saya akan lakukan apa sahaja asalkan mampu merangsang tubuh untuk menghasilkan lebih banyak susu untuk keperluan Nail. Saya akui, dalam enam bulan pertama selepas Nail lahir, saya begitu taksub. Ke mana sahaja saya pergi, beg pam payu dara dan kelengkapan yang lainnya pasti ada bersama. Termasuklah bekas berisi 2 liter air. Jika diimbas, keadaan saya ketika itu, bahu dan tangan sentiasa sarat dengan pelbagai barangan yang dipegang dalam satu-satu masa.

Saya tidak kisah dengan penampilan sebegitu. Apa yang saya tahu, cukup sahaja 2 jam atau paling lama 3 jam, saya wajib kosongkan payu dara demi memastikan tubuh menghasilkan susu ibu secara konsisten.

Jadi, kepada anda yang baru berjinak-jinak dengan dunia penyusuan susu ibu, nasihat saya sebagai orang yang ada sedikit pengalaman ini ialah fahami konsep asas penyusuan susu ibu iaitu KERAP KOSONGKAN PAYU DARA AGAR LEBIH BANYAK SUSU DAPAT DIHASILKAN. In sha Allah, usaha kita akan dipermudahkanNya. Amin.

Salam,
Jastina Ijjas

SEDEKAHKAN AL-FATIHAH SETIAP HARI

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin
Foto: Sumber google

Salam,


Di dalam surah AL-FATIHAH terkandung banyak ilmu berharga jika kita benar-benar fahami maksudnya. Ada tujuh ayat kesemuanya. Di sini, saya tampilkan terjemahan surah berdasarkan setiap ayat. Saya peroleh terjemahan ini daripada pencarian di Internet. Mari kita sama-sama fahami setiap satu terjemahan ayat dan jadikannya sebagai asas panduan kehidupan. 

Ayat 1: Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ayat 2: Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Ayat 3: Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Ayat 4: Yang menguasai hari pembalasan.

Ayat 5: Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.

Ayat 6: Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

Ayat 7: (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.


Lazimnya kita baca surah ini ketika bersolat ataupun sebelum memulakan doa bukan? Tidak sekadar itu, saya membiasakan diri untuk bersedekah surah al-Fatihah setiap hari. Biasanya saya lakukannya di waktu pagi. Sambil berjalan mendukung Nail untuk dihantar ke rumah pengasuhnya, saya akan membaca surah ini dalam nada yang hanya boleh didengari oleh kami berdua. Bimbang juga jika dibaca terlalu kuat sehingga mengganggu pendengaran orang lain.

Setelah lengkap membaca tujuh ayat surah ini, saya terus menyusun ayat untuk menyedekahkannya kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat. Diikuti arwah abah, mak, suami, diri saya sendiri, Nabiha dan Nail.

Dalam masa yang sama, saya turut memohon agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kami setiap hari dan menempatkan arwah abah di kalangan orang-orang yang beriman. Bagi yang masih hidup ini, saya bermohon agar kami diberi keberkatan hidup, dimurahkan rezeki dan jika loh mahfuz dicatatkan kegagalan pada hari itu, maka tukarkanlah ia kepada kejayaan.  

Saya mula menyedari untuk istiqamah memberikan sedekah al-Fatihah kepada Baginda Rasulullah SAW setiap hari setelah mendengar ceramah daripada seorang ustaz di kaca televisyen. Katanya, kita sering lalai sedangkan amalan ini sungguh mudah. Jika selalu dibuat, pasti ia menjadi kebiasaan. Yang penting, kita mesti istiqamah dalam melakukannya.  

Benar kata ustaz yang menyampaikan ceramah itu. Bagi saya ia mudah sahaja. Hanya ambil masa tidak sampai 5 minit pun. Dan saya lakukannya ketika berjalan. Senang bukan? Yang penting kita perlu ikhlas dan sentiasa berterusan dalam melakukannya.

Saya tidak berpeluang melakukan amalan sedekah ini bersama Nabiha yang lebih berakal kerana setiap pagi dia ke sekolah bersama daddynya. Jadi, saya gunakan kesempatan bersama Nail untuk melakukannya. Saya sangat berharap dengan kebiasaan yang telah saya terapkan pada Nail ini dapat dijadikan amalannya pada masa akan datang.

Ya! Saya mahu anak-anak sentiasa mendoakan doa kebaikan dan kesejahteraan buat saya dan suami. Jika boleh setiap hari, sama seperti yang saya lakukan bersamanya saban hari. Amin... Semoga Nail dan Nabiha menjadi anak yang soleh dan solehah seperti yang didambakan oleh kebanyakan ibu bapa.

Salam,
Jastina Ijjas

YANG PERTAMA DALAM ISLAM

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Sewaktu kecil dahulu, saya pasti kita semua didedahkan dengan pelbagai nama orang Barat yang menjadi pencipta pertama itu dan ini. Kalau disebut pencipta telefon, kita tahu dia adalah Alexander Graham Bell. Pencipta kapal terbang pertama, sudah tentu Wright bersaudara menjadi jawapan kita.

Bagaimana pula dengan sejarah orang-orang yang digelar PERTAMA di kalangan orang Islam. Tidak banyak yang kita tahu bukan? Ketika menerima mesej WhatsApp dalam grup yang terdiri di kalangan saudara mara sebelah mak, saya terkesima. Malu pun ada. Sebab ada di antara info yang saya terima itu, baru sahaja saya ketahui.

Salah satunya ialah orang pertama yang menulis kalimah Bismillah. Tahu tak jawapannya? Kalau anda tahu, saya tabik hormat. Sebab saya baru tahu bahawa Nabi Sulaiman AS adalah insan pertama yang melakukannya.

Mujurlah anak-anak terutamanya Nabiha belum pernah bertanyakan soalan-soalan seperti ini. Kalau tidak, pasti saya hilang punca. Dengan info yang diperoleh itu, kini dapatlah saya dapat mempersiapkan diri sendiri.

Demi memastikan info yang diperoleh ini tidak hilang dan pada masa yang sama dapat dijadikan perkongsian dengan yang lain-lain, maka saya susunkan senarai Yang Pertama Dalam Islam. Semoga info ini dapat memberi manfaat untuk kita semua dalam mendidik anak-anak untuk mengenali cabang-cabang Islam dengan lebih mendalam.

Yang Pertama Dalam Islam
1. Orang pertama menjadi khalifah Islam
Abu Bakar As Siddiq RA

2. Orang pertama menggunakan tarikh Hijrah
Umar bin Al-Khattab

3. Orang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah
Saiditina Hajjar

4. Orang pertama menyusukan Rasulullah SAW
Thuwaibah RA

5. Orang pertama syahid di kalangan lelaki
Al-Harith bin Abi Halah

6. Orang pertama syahid di kalangan wanita
Sumayyah binti Khabbat

7. Orang pertama menulis hadis di dalam kitab
Abdullah bin Amru bin Al-Ash

8. Orang pertama bergelar muazzin dan melaungkan azan
Bilal bin Rabah

9. Orang pertama membuat mimbar Masjid Nabi
Tamim Ad-dary

10. Orang pertama menulis sejarah Nabi Muhammad SAW
Ibban bin Othman bin Affan

11. Orang pertama membina penjara
Ali bin Abi Tholib

12. Orang pertama membina perpustakaan awam
Harun Ar-Rasyid

13. Orang pertama menghafaz al-Quran selepas Rasulullah SAW
Ali bin Abi Tholib

14. Orang pertama membina menara di Masjidil Haram di Mekah
Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur

15. Orang pertama dipanggil di hari kiamat
Nabi Adam AS

16. Orang pertama akan masuk syurga
Nabi Muhammad SAW

Semoga perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. In sha Allah...

Salam,
Jastina Ijjas

Monday 20 January 2014

CLOTH DIAPER VS DISPOSABLE DIAPER

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google


Salam,

Saya mula mengenali lampin kain moden atau lebih glamor dengan CLOTH DIAPER (CD) di tahun 2007 iaitu setelah Nabiha berumur 3 tahun. Sayang sekali saya tidak mengetahui tentang kewujudan CD lebih awal. Jika tidak, pasti saya menggunakannya.Terima kasih kepada Siti Nur Suraya, pengasas Lunatots. Dialah insan yang bertanggungjaab mendedahkan kepada saya kebaikan CD.

Oleh kerana tahu tentang kebaikan penggunaan CD, sejak Nail dalam kandungan lagi, saya bertekad menggunakan CD, walaupun ada beberapa teman yang meragui kemampuan fizikal saya untuk bertahan. Sejak dari awal, sedikit demi sedikit saya mengumpul CD untuk kegunaan Nail setelah lahir kelak.

Biarpun sudah mempunyai stok beberapa helai CD untuk kegunaan Nail, saya hanya gunakan setelah dia berumur sebulan setengah. Saya terpaksa tangguhkan penggunaan CD kerana Nail mengalami jaundis. Dia kerap membuang air kecil dan cirit-birit.

Oleh kerana saya sendiri masih belum cukup kuat terutamanya di minggu pertama selepas bersalin, jadi saya gunakan DD khas untuk bayi baru lahir. Saya tidak mahu susahkan mak yang menjaga kami anak beranak sepanjang tempoh berpantang. Bagi saya, ketika itu penggunaan DD adalah lebih praktikal.

Selain daripada mahu berbakti kepada Bumi dengan mengurangkan penggunaan DD, saya juga mahu berjimat daripada segi wang ringgit. Memang pada mulanya, saya perlu melabur sejumlah wang untuk membeli beberapa helai CD. Tetapi untuk tempoh jangka panjang, banyak penjimatannya. Malah, suami bersyukur dengan keputusan kami memilih CD yang telah banyak membantu kami daripada segi kewangan.

Biarpun saya menggunakan CD untuk Nail, saya tetap membeli DD. Tetapi kekerapannya boleh dikira. Saya anggarkan 3 - 4 bulan sekali untuk satu pek DD. Saya perlu menjadi ibu praktikal mengikut keadaan semasa. Saya pakaikan Nail dengan CD untuk penggunaan hari siang tetapi di malam hari, dia menggunakan DD atas faktor mahu mengelakkan lampin bocor. Saya mahu Nail berkeadaan selesa sewaktu tidur selain saya sendiri pun mahu tidur lena juga.

Malah, DD turut saya gunakan ketika perlu berjalan jauh seperti bercuti. Faham-faham sahajalah jika di tempat orang, agak sukar untuk saya melakukan rutin-rutin mencuci CD seperti biasa.

Terpulanglah pada anda. Sama ada mahu menggunakan sepenuhnya CD mahupun DD. Pilihan terletak di tangan masing-masing. Di pihak saya, saya memilih untuk menggunakan kedua-duanya tetapi lebih banyak cenderung melebihkan penggunaan CD.

Salam,
Jastina Ijjas

Sunday 19 January 2014

DOA MOHON DIPERMUDAHKAN

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

"Rabbi yassir wala tuassir. Rabbi tammim bil khair." 

Dalam bahasa Melayu, doa ini bermaksud "Ya Allah permudahkanlah, usahlah disukarkan. Ya Allah, sempurnakanlah ia dengan kebaikan." Sejak dari kecil, saya memang berpegang teguh kepada ayat ini. Mak yang ajarkannya. 

Setiap kali saya hadapi apa-apa jua masalah, bibir saya secara automatik pantas membaca doa ini. Saya sangat percaya bahawa Allah SWT pasti akan membantu mempermudahkan apa-apa jua urusan yang sedang saya lakukan.

Biasanya, saya baca doa ini, sebelum memulakan rutin mengulangkaji pelajaran, ketika belajar di kelas, semasa menghadapi ujian atau peperiksaan; sewaktu mencari buku-buku di perpustakaan, malah ketika mencari parkir pun saya akan baca doa ini. Saya akui, doa ini belum pernah mengecewakan. 

Kini, tiba masanya untuk saya pula mengajar perkara yang sama kepada Nabiha (dan Nail juga). Saya selalu berpesan kepada Nabiha, apa sahaja yang kita hendak buat perlu dimulakan dengan bacaan Bismillah. Kemudian, jangan lupa baca doa Rabbi yassir wala tuassir. Rabbi tammim bil khair.

Setakat ini, saya perhatikan Nabiha mendengar kata walaupun kadang-kadang ada juga masanya dia terlupa. Tak mengapa. Saya pasti dia akan sentiasa mengingati pesan-pesan saya dan suami juga. Biasalah manusia, ada kalanya kita lalai dan terlupa untuk seketika. 

Sementara itu, ingin saya kongsikan, bahawa saya turut mengamalkan bacaan doa ini ketika menyusukan Nail. Hanya satu harapan saya ketika membaca doa ini. Saya memohon agar Allah SWT mempermudahkan urusan saya sepanjang menyusukan dan mengumpul stok perahan susu ibu buat Nail. Semuanya kerana saya mahu menyusukan Nail sehingga umurnya dua tahun dan hanya akan bercerai susu apabila Nail sendiri secara suka rela mahu melakukannya.

Alhamdulillah... Hasilnya, sehingga kini, saya masih lagi dipermudahkanNya untuk terus menjayakan penyusuan susu ibu walaupun kadang-kadang berhadapan dengan cabaran-cabaran kecil yang banyak mematangkan diri ini. 

Bagi saya, semua itu adalah asam garam kehidupan yang secara tidak langsung membantu saya memahirkan diri dengan ilmu penyusuan susu ibu. Jadi, dengan serba sedikit ilmu yang ada, bolehlah saya berkongsi dengan rakan-rakan atau sesiapa jua yang menghadapi masalah yang sama. 

Salam,
Jastina Ijjas

BAHAYA LAMPU MENYALA KETIKA TIDUR

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google

 
Salam, 

Dalam entri kali ini, saya tertarik untuk memanjangkan info yang saya terima menerusi WhatsApp kiriman kakak saudara a.k.a Kak Yong. Ia berkenaan BAHAYA LAMPU yang dinyalakan ketika tidur. Kanak-kanak atau sesiapa sahaja yang gemar tidur dalam keadaan lampu masih menyala akan meningkatkan risiko leukemia.

Dari Abu Salim ra, Rasulullah SAW pernah bersabda, "Kalau kamu tidur, jangan biarkan api menyala di dalam rumahmu." Nauzubillah... mungkinkah ini merupakan antara penyebab mengapa di zaman kini semakin ramai orang terutamanya kanak-kanak menghidap leukemia dan juga penyakit berbahaya yang lainnya? Sememangnya sukar untuk kita mendapatkan jawapannya.

Pada pendapat saya, selagi boleh mencegah, apa salahnya jika kita praktikkan apa-apa jua info yang diperoleh. Asalkan ia boleh diterima logik akal. Lagipun, tidur dalam keadaan bergelap bagus, kerana dalam masa yang sama, dapat menjimatkan tenaga elektrik daripada dibazirkan begitu sahaja. 

Menurut info yang Kak Yong kirimkan, pakar perubatan menyatakan tubuh memerlukan persekitaran yang gelap bagi membantu penghasilan bahan kimia khusus melawan kanser iaitu melatonin. Mungkin kerana itulah, Rasulullah SAW menyarankan kita jangan membiarkan lampu menyala ketika tidur. Info tambahan yang perlu kita tahu, ia tidak hanya terhad kepada lampu di dalam bilik sahaja ya! Cahaya daripada lampu tandas, lampu jalan dan lampu-lampu yang lainnya pun dapat menghentikan penghasilan melatonin.

Melatonin sebenarnya berfungsi mencegah kerosakan DNA dan menghalang pertumbuhan tumor.  Prof. Russle Reiter dari Universiti Texas yang melakukan kajian berkenaan isu ini mendapati, lampu yang dibiarkan menyala walaupun hanya 1 minit semasa kita tidur akan menyebabkan otak beranggapan lampu menyala seharian lalu menjadi penyebab penurunan penghasilan melatonin.

Fakta menarik yang perlu kita ketahui ialah secara normalnya, melatonin terhasil di antara waktu 9 malam sehingga 8 pagi iaitu waktu normal untuk kita lena diulit mimpi. Jadi, ambil perhatian! Seboleh-bolehnya, ajar anak kita tidur dalam keadaan gelap. Jangan sesekali biarpun anak kita tidur dalam keadaan lampu di bilknya masih menyala. Saya bernasib baik kerana baik Nabiha mahupun Nail suka bergelap jika mahu tidur. Selagi lampu menyala, selagi itulah mata mereka bermaharajalela.

Di sini, saya suka mengambil kesempatan untuk berkongsi satu lagi kebesaran Allah SWT. Dia sememangnya Maha Mengetahui keperluan hamba-hambaNya. Selepas seharian kepenatan di siang hari, kita memerlukan "sesuatu" untuk merehatkan tubuh badan yang kepenatan. Maka, Dia jadikan malam dalam keadaan yang gelap yang sememangnya dapat membantu tubuh berehat dengan sebaik-baiknya. 

Oleh itu, jika sebelum ini kita sudah membiasakan anak-anak tidur dalam keadaan bercahaya, bertukarlah amalan biasa itu. Bukan apa, demi kesihatan mereka dalam jangka masa yang panjang juga.

Salam, 
Jastina Ijjas

Friday 17 January 2014

MANFAAT YA LATIFF

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Fail Ijjas Familia

Salam, 



My charming Nail Ariq
Ketika masih bayi, Nail dilihat sebagai seorang bayi yang begitu charming. Dia bisa membuatkan sesiapa sahaja tertawan dengan sikapnya yang lemah lembut. Jika menangis pun, tangisannya langsung tidak membingitkan. Makin "cair" dibuatnya, kerana dia dilihat begitu comel apabila menangis sedemikian rupa. (Ini bukan kata-kata saya ya tetapi penghargaan yang selalu diberikan kepada Nail. Takut pula dikata riak. Nauzubillah...)

Akhir-akhir ini, saya perhatikan, makin banyak perkara yang dipelajari Nail sejak pergaulannya mula meluas. Dari sehari ke sehari dia semakin "keras" dan mula menyerlahkan sifat "jantan"nya. 

Suatu ketika dahulu sewaktu menyusukan secara terus dari payu dara, bibir saya tidak lekang berzikir YA LATIFF sebanyak mungkin sambil mengusap ubun-ubunnya. Habis sahaja berzikir, saya akan menghembuskan kepalanya sambil berdoa agar Allah SWT sentiasa melembutkan hati Nail agar dia dapat menjadi insan yang disenangi ramai dan tidak banyak menimbulkan masalah kepada sesiapa yang berurusan dengannya kelak.  

Seiring dengan pertambahan usia Nail, sesi penyusuan kami pada masa kini lebih banyak berlangsung pada waktu malam kerana dia mengamalkan reverse cycling. Sudah namanya malam, jadi mata saya mudah sungguh terlelap apatah lagi selepas seharian suntuk bekerja. Tanpa sedar, saya lama-kelamaan kurang berzikir Ya Latiff seperti sebelumnya. 

Saya akui kekhilafan yang tidak sepatutnya berlaku itu. Kini, saya sedaya upaya mengembalikan semangat berzikir Ya Latiff sepanjang sesi penyusuan Nail. Dapat melakukannya tujuh kali pun bagi saya sudah memadai. Yang penting, selepas berzikir saya memanjatkan doa kepadaNya.

Tidak mahu terus berceloteh panjang, berikut saya susunkan antara info tambahan yang mahu saya kongsikan tentang amalan berzikir Ya Latiff. Amalkanlah ia untuk manfaat kita sekeluarga semua ya.
 
Pelbagai manfaat Ya Latiff
1. Apabila si manja mula buat perangai dan beremosi, kita digalakkan untuk menyentuh lembut ubun-ubunnya dengan tangan kanan sambil menyebut Ya Latiff, berdoa dan menyatakan harapan agar dia berubah tingkah kepada lebih menyenangkan. Saya selalu aplikasikan cara ini pada Nail dan ternyata ia memang berkesan.

2. Bagi membantu anak kita mudah belajar, bacalah zikir Ya Latiff sebanyak 129 kali diikuti surah as-Syura, ayat 19 yang bermaksud: “Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

Sebaik-baiknya, bacaan ini dilakukan selepas solat Subuh. Bacakannya pada botol air minuman dan minta anak mengambil air minuman khas ini setiap masa. Tip ini belum lagi saya amalkan. Saya baru sahaja dapat info ini dan akan berusaha untuk melakukannya dalam masa terdekat.

3. Bagi anak-anak yang perlu menjawab soalan peperiksaan berbentuk subjektif, galakkan dia membaca 7 kali Ya Latiff pada setiap helaian kertas jawapan. Dipercayai, zikir ini mampu melembutkan hati pemeriksa kertas jawapan anak kita.

Wallahhu 'alam. Apa-apa pun usaha anak kita untuk memberikan jawapan yang terbaik perlu lebih diutamakan. Tetapi apa salahnya kalau nak mencuba tip ini kan?

4. Semasa membasuh beras, memasak hidangan lauk-pauk, menyediakan minuman untuk seisi keluarga, digalakkan untuk berzikir Ya Latiff agar kita semua dilembutkan hatinya dan sentiasa berbuat kebaikan. 

Tip yang ini mudah sahaja untuk dipraktikkan. Selain itu, kita boleh juga berzikir Ya Halimah untuk memastikan masakan yang disediakan enak untuk santapan.

5. Zikir ini bukan sahaja khas untuk melembutkan hati anak-anak ya. Jika kita ingin melembutkan hati sendiri dan/atau suami pun, boleh mengamalkan zikir yang sama. Caranya sungguh mudah. Ambil segelas air dan bacalah seberapa banyak Ya Latiff. Sebaik-baiknya dalam bilangan yang ganjil.

Kongsi-kongsikan... dan... selamat beramal...

Salam,
Jastina Ijjas

KITAR SEMULA = $$$

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google

 
Salam,


 
Sejak dari kecil lagi saya telah dididik oleh arwah abah untuk MENGITAR SEMULA apa sahaja yang boleh memberi pulangan wang. Bak kata orang, "Asal barang jadi duit". Pada masa yang sama, arwah abah juga mahu saya dan adik belajar mencintai Bumi kerana dia turut berkongsi beberapa maklumat mengenainya seperti yang dikutipnya semasa belajar di luar negara.

Pada zaman saya kecil dahulu, arwah abah hanya menumpukan pengumpulan surat khabar dan tin aluminium untuk dikitar semula. Bila ada sahaja masa terluang, kami akan berlegar-legar di sekeliling kawasan perumahan untuk mencari bahan kitar semula. Memang seronok bila dikenang semula saat yang berlalu lebih 20 tahun sudah.

Biarpun masa telah lama berlalu, saya tetap seperti dahulu. Masih setia mengumpul apa sahaja barang-barang yang boleh dikitar semula agar membuahkan hasil a.k.a duit sampingan. Berbanding dahulu, barangan yang saya kumpul sekarang, lebih variasi. Saya kumpul kertas, surat khabar dan kotak; botol dan barangan plastik; tin aluminium serta besi juga. Di rumah, saya telah sediakan empat buah bekas plastik khusus untuk menempatkan kesemua barangan ini. Setiap satu bekas saya labelkan: Plastic, Paper, Metal dan Aluminium.

Mahu menjadi seperti arwah abah, Nabiha dan Nail telah saya didik tentang kepentingan mengitar semula. Agak mudah mendidik Nabiha kerana dia turut mendapat pendedahan yang sama di sekolah. Nail pula, masih terlalu muda untuk memahaminya.

Saya percaya melentur buluh biarlah daripada rebung. Jadi, saya berharap kedua-dua mereka akan meneruskan legasi Ijjas Familia yang komited dalam hal yang membabitkan isu kitar semula. Bukan sahaja untuk menjaga alam sekitar daripada terus dibebani dengan lambakan bahan buangan ciptaan manusia, tetapi dalam masa yang sama memperoleh manfaat berupa wang ringgit daripada penjualan barangan yang telah dikumpul.

Pada cuti hujung minggu jika berkelapangan, kami sekeluarga akan berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan sambil menjijit beg plastik bersaiz besar untuk mengutip botol plastik dan tin aluminium yang dibuang oleh penduduk setempat. Ada manfaat lain buat kami sekeluarga. Selain daripada mengumpul barangan kitar semula, kami dapat mengeluarkan toksin di dalam tubuh juga.

Di pejabat, saya turut melakukan perkara yang sama. Mengumpul botol plastik dan sampul surat yang tidak dipakai lagi. Kertas A4 yang telah diguna di kedua-dua muka surat pun saya kumpul, setelah  yakin ia tidak mempunyai fungsi lagi. Nabiha dan Nail beruntung kerana ramai rakan sekerja turut menyokong amalan Ijjas Familia dengan menyumbangkan botol minuman selepas habis diminum. Setinggi penghargaan saya ucapkan kepada mereka semua.  

Sementara itu, sebulan sekali kami sekeluarga akan ke pusat pengumpulan barangan kitar semula berdekatan kawasan perumahan kami di Subang Permai. Biasanya pada waktu ini empat beranak akan berhimpit-himpit di tempat duduk bahagian hadapan kerana kereta kami sarat dengan barangan yang mahu dijual. Puratanya, kami mampu memperoleh antara RM10 hingga RM20 untuk sekali jualan.

Walau bagaimanapun, hal ini bergantung kepada jenis barangan yang dijual. Jika besi, lebih banyak jumlah wang perolehannya. Tetapi, stok pengumpulan besi kami agak terhad. Biasanya jika ia melebihi 1kg barulah kami sedia menjualnya. Jika tidak, besi-besi itu akan terus disimpan sehingga tiba masa yang sesuai untuk dijual.

Wang perolehan hasil jualan, saya akan bahagikan sama rata untuk disimpan di dalam akaun simpanan Nabiha dan Nail. Bagi saya, itu bukan keutamaannya. Biarpun sedikit tetapi bila dikumpul akan jadi banyak juga. Bak kata pepatah, "sikit-sikit, lama-lama jadi bukit." Apa yang penting Nabiha dan Nail dapat belajar bermacam-macam menerusi amalan kitar semula yang kami sekeluarga amalkan. 
   
Apa lagi? Ayuh kitar semula! Saya syorkan mula hari ini anda aplikasikan cara yang sama kepada anak-anak. Selamat mengitar semula!

Salam,
Jastina Ijjas

Thursday 16 January 2014

KEPENTINGAN PEMERIKSAAN KESIHATAN

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google.com

Salam,

Pada cuti Maulidur Rasul lepas, saya dan suami berkesempatan menjalani PEMERIKSAAN KESIHATAN percuma di sebuah pusat perubatan yang terletak di dalam pusat membeli-belah terkenal di pinggir Kuala Lumpur.

Selepas ujian darah dilakukan sekitar 9.30 pagi, kami dibenarkan berehat  untuk "berbuka puasa" kerana sebelum itu telah mengosongkan perut lebih daripada 11 jam. Tepat jam 10.30 pagi kami kembali ke lobi hospital tersebut. 

Malangnya, sebelum keputusan pemeriksaan diperoleh, kami dipaksa meluangkan masa bersama perunding kesihatan hospital ini.
Dia memperkenalkan diri sebagai perunding kesihatan. Tetapi bagi saya, dia sebenarnya eksekutif pemasaran yang cuba mempengaruhi saya dan suami untuk mengikuti pakej pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan.

Bukan menolak pemantauan kesihatan yang bakal dijalankan tetapi saya musykil apabila dia berdolak-dalih tentang kos yang bakal dikenakan. Saya pasti cajnya mahal memandangkan pusat perubatan ini nampak elegan dan eksklusif. Berbalik kepada tujuan asal entri ini, saya sebenarnya mahu berkongsi ilmu yang diperoleh daripada "perunding kesihatan" a.k.a eksekutif pemasaran ini.

Ramai di kalangan kita kurang sedar dengan kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan diri. Saya percaya ramai di kalangan kita melakukan pemeriksaan kesihatan ini ketika menerima tawaran kerja kerana wajib melakukannya. Kita golongan wanita, bernasib baik sebab setiap kali disahkan hamil, kita akan melalui beberapa siri pemeriksaan kesihatan.

Pemeriksaan kesihatan sebenarnya penting untuk membantu kita mengesan simptom awal sebarang penyakit. Jadi, mudahlah kita rancang langkah pencegahan atau buat rawatan bersesuaian.

Umumnya, individu digalakkan memeriksa tahap kesihatannya sekali dalam setahun bermula usia 40 tahun dan ke atas. Tetapi, jika kita mempunyai
sejarah keluarga berpenyakit kronik, adalah lebih baik berjumpa dengan doktor pada usia yang lebih muda. Maklum sahajalah, masa kini orang-orang muda pun mudah terkena penyakit-penyakit kronik.

Berikut, saya kongsikan antara perkara-perkara asas yang perlu kita titikberatkan sebelum pergi menjalani pemeriksaan kesihatan.

1. Kita perlu berpuasa antara 6 - 10 jam sebelum pemeriksaan.

2. Semua jenis makanan atau minuman lain tidak dibenarkan semasa berpuasa kecuali air kosong.

3. Jika kita langgar peraturan berpuasa sebelum pemeriksaan, ia akan menggangu hasil keputusan ujian darah.

4. Jika haid, kita perlu beritahu doktor yang bakal memeriksa terutamanya bagi ujian pap smear. Kehadiran darah pada sampel ujian akan menyebabkan hasil keputusan yang tidak tepat.

5. Untuk pemeriksaan x-ray, ibu hamil dan mengesyaki diri hamil tidak boleh melakukan ujian ini.

6. Semua jenis barang kemas perlu ditanggalkan semasa menjalani ujian imbasan dilakukan.

Saranan saya, marilah kita sama-sama pergi menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh setiap tahun. Zaman sekarang, di klinik biasa pun ada tawaran pakej-pakej pemeriksaan pada harga yang berpatutan. Apalah salahnya kita peruntukkan sedikit dana untuk tujuan ini.

Sekurang-kurangnya, kita boleh kenal pasti apa jua jenis penyakit yang mungkin kita hidap tanpa sedar dari awal. Jadi, kita dapat mengelakkan diri daripada perlu menghabiskan ribuan ringgit di kemudian hari hanya kerana penyakit yang dialami sudahpun berada di tahap paling kritikal. Nauzubillah. 

Salam,
Jastina Ijjas