Wednesday 8 January 2014

BAHASA "ALIEN"

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google


Semalam, saya bercerita tentang lafaz salam sebagai salah satu rutin yang saya dan keluarga amalkan dalam kehidupan seharian. Hari ini, saya masih mahu berkongsi ilmu tentang salam juga.

Terdetik di hati untuk menulis perihal salam untuk sekian kalinya, berikutan salah seorang teman membangkitkan isu penggunaan salam di dalam komunikasi moden masa kini. Ramai di kalangan kita menulis ringkas perkataan salam termasuklah saya sendiri kerana jika ditulis lengkap, ia akan “memakan” ruang yang sedia ada.

Suatu ketika dahulu kecoh tentang penyalahgunaan singkatan salam ini. Ada yang mengambil iktibar daripadanya namun tidak kurang juga yang hanya bersikap sambil lewa. Oleh sebab itulah teman saya mengomel kerana ada yang kurang prihatin. Masih ada yang menggunakan singkatan seperti Akum, A’kum, Semekom, Se’kom dan banyak lagi.

Sebenarnya dia merujuk kepada segelintir golongan anak muda yang katanya bermaharajalela menggunakan BAHASA “ALIEN” secara membabi buta sehingga perkataan salam pun mahu diperkotak-katikkan. Ya, saya bersetuju dengan rungutannya itu. Saya sendiri pun kurang selesa apabila adik-adik saudara menggunakan bahasa “alien” setiap kali berinteraksi dengan saya melalui laman sosial, SMS, e-mel dan lain-lain.

Jika ada kesempatan (dan yang paling penting ialah kekuatan mental dan emosi kerana bimbang ada pihak yang tersinggung), lebih baik kita sebagai seorang dewasa yang berakal menegur secara berhemah kesilapan yang mungkin tidak disedari oleh golongan yang gemar menggunakan bahasa “alien” ini. Tambahan pula, ia  berkaitan dengan ungkapan salam. Terangkan kepada mereka, apalah salahnya jika perkataan Assalamualaikum dipendekkan kepada perkataan yang lebih manis dan ringkas tetapi tetap sampai maksudnya seperti Salam mahupun As Salam.

Maklumkan juga kepada mereka ungkapan salam ini merupakan salah satu daripada Asmaul Husna. Jadi, bukankah tidak molek jika kita mempermainkan perkataan ini. Buat kedua-dua anak saya, Nabiha dan Nail (jika mereka membaca entri ini), janganlah sesekali kalian merosakkan kemuliaan perkataan Assalamualaikum biarpun teman-teman seangkatan yang lain ligat mengikut trend terkini menggunakan perkataan ringkas sewaktu berbicara menerusi gajet mahupun di alam maya. Ingat ya anak-anakku, bahasa jiwa bangsa. Bahasa itu juga jiwa untuk agama kita... Jagalah sebaik-baiknya adab kalian kala berbahasa.

Salam,
Jastina Ijjas

No comments:

Post a Comment