Sunday 12 January 2014

DANA KECEMASAN

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google

Salam,

Empat hari yang sudah, saya berkesempatan berborak panjang dengan beberapa teman sepejabat ketika dalam perjalanan ke tugasan di ibu kota. Maklum sahajalah sesekali berpeluang berkumpul di dalam satu kereta, macam-macam hal yang kami bualkan.

Dalam banyak-banyak isu yang kami bangkitkan, saya tertarik dengan kisah seorang teman yang berkongsi pengalamannya menemubual Mohd Sofian Abdullah atau Ir Sofian yang merupakan jutawan logam di Malaysia.

Menurut Ir Sofian, bahang inflasi yang sedang kita depani sekarang hanya "sipi-sipi" sahaja. Kemuncaknya ialah pada tahun 2015 dan 2016 kelak. Kegawatan ekonomi ketika itu akan menyebabkan ramai tidak berbelanja lalu melumpuhkan sistem ekonomi. Syarikat besar berkemungkinan cuba mengurangkan kos dengan memberhentikan khidmat tenaga sumber manusia. Syarikat kecil yang tidak kompetitif pula dijangka "bungkus" dan "gulung tikar".

Merenung kehadiran 2015 yang bakal menjelang lebih kurang 11 bulan lagi, membuatkan saya terkesima. DANA KECEMASAN yang saya dan suami kumpulkan selama ini belum cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga untuk tempoh enam bulan.

Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), dana kecemasan individu atau keluarga perlu ada untuk kegunaan perbelanjaan dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Dana ini diperlukan untuk melindungi diri kita dan keluarga apabila terpaksa berhadapan dengan situasi yang tidak diduga. Ingat ya! ia untuk KE-CE-MA-SAN. Jangan pula digunakan untuk lain-lain tujuan. 

Selama ini saya berpegang kepada prinsip - Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Memang pada saat awal saya dan suami memutuskan untuk mewujudkan dana kecemasan, soalan pertama yang timbul - "Dari mana kami mahu "korek" duit untuk menyimpan jika berlaku hal yang tidak dijangkakan?"

Oleh kerana itu, rombakan bajet kami lakukan. Kami peruntukkan terlebih dahulu sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan bulanan untuk diagih-agihkan kepada beberapa akaun simpanan. Simpanan untuk diri sendiri, simpanan untuk anak-anak, simpanan lain-lain termasuklah simpanan khas untuk hal-hal kecemasan.

Simpanan kecemasan yang kami peruntukkan sedikit sahaja. Cuma RM100 setiap seorang setiap bulan. Apa-apa pun kami istiqamah dalam melakukannya sejak empat tahun yang lalu. Kami simpan dana ini di dalam satu akaun khas di bank yang mempunyai kad ATM supaya mudah duit dikeluarkan di saat-saat memerlukan. Tetapi kad ATM itu, saya sorokkan di dalam buku akaun simpanan supaya tidak selalu berada di depan mata. Bukan apa, takut saya atau suami pecah amanah pula.

Melalui pencarian maklumat mengenai dana kecemasan di google beberapa tahun yang lalu, ada informasi menyatakan selain daripada akaun simpanan bank, kita juga boleh menyimpan di dalam amanah saham milik kerajaan. Tujuannya ialah memastikan keselamatan modal dan pada masa yang sama ada pulangan yang berpatutan. Malah, ada cadangan supaya lebihan dana disimpan dalam bentuk emas tetapi pastikan dahulu duit yang disimpan cukup untuk kegunaan enam bulan.

Satu lagi info menarik perhatian saya ialah setiap jumlah wang yang diambil dari dana kecemasan perlu diganti semula. Ya, sepatutnya begitulah. Ia seperti sistem bayar kad kredit tetapi dalam hal ini tiada interest. Yang ini, kami "kalah" sebab masih gagal membayar "hutang" wang yang sudah dibelanjakan (pembayaran wang pendahuluan kemasukan ke wad hospital, servis kecemasan kereta dan motor, yuran pendaftaran kelas tambahan anak dan macam-macam lagi) kepada dana kecemasan. 

Oleh sebab itulah sehingga kini kami tidak berjaya menyediakan dana kecemasan enam bulan. Nampaknya, saya kena ubah strategi penyediaan bajet bulanan mulai tahun ini. Saya perlu pertimbangkan untuk membayar semula "hutang" itu supaya apabila Ijjas Familia menjejak ke tahun 2015, dana kecemasan cukup untuk kegunaan kami apabila diperlukan. Wallahu a'lam.

Inilah serba sedikit maklumat yang saya kongsikan tentang dana kecemasan. Marilah kita sama-sama sediakan payung sebelum tsunami kewangan melanda.

Salam, 
Jastina Ijjas

No comments:

Post a Comment