Wednesday 8 January 2014

ASSALAMUALAIKUM = DOA SEJAHTERA

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com
Foto: Fail Ijjas Familia

Puteriku Nabiha di samping sang putera, Nail.
Assalamualaikum dan SALAM perkenalan daripada saya Intan Jastina Jamaluddin atau Jastina Ijjas.

Lama benar masa yang saya ambil sebelum memulakan coretan dalam blog ini, lantaran berhadapan dengan pelbagai kekangan yang gagal ditangani dengan bijak. Walau bagaimanapun, dengan berbekalkan semangat mahu melakukan sesuatu yang baru bermula 2014, saya tekad menulis jua pada malam ini.

Kiranya, ini adalah salam pertama saya di dalam blog yang masih serba kekurangan ini. Menyentuh tentang pekataan salam, diri ini terpanggil untuk berkongsi ilmu di dada yang tidak seberapa. Rasanya ramai yang sedia maklum, ungkapan salam ini merupakan salah satu daripada sunnah Nabi Muhammad SAW. Diterjemahkan daripada bahasa Arab, "Assalamualaikum" bererti "Selamat sejahtera ke atas kamu."

Lantaran maksudnya ialah selamat sejahtera, maka saya samakan ia seperti saya mengungkapkan doa kebaikan buat orang yang saya sapa melalui salam berkenaan. Oleh kerana itu jugalah, saya seboleh mungkin cuba mengucapkan salam kepada puteri dan putera saya, Nabiha Ijjas dan Nail Ijjas setiap hari.

Ada waktunya, saya mengucapkan salam pada waktu pagi sebaik sahaja mereka berdua mencelikkan mata tetapi hal ini lebih lazim berlaku pada waktu senggang di mana saya sendiri dapat bermalas-malas di pembaringan sambil menunggu mereka berdua bangun daripada tidur.

Paling tidak, saya akan mengucapkan salam sebelum kedua-duanya masuk tidur pada malam hari. Tidak ketinggalan, saya turut mengucapkan salam kepada suami dan diri sendiri! Bagi saya, ini adalah salah satu cara saya berdoa memohon kesejahteraan daripada Allah SWT buat anak-anak, suami dan diri sendiri selain melakukannya setiap kali selesai bersolat.

Alhamdulillah, cara yang saya amalkan ini diterima baik oleh Nabiha, memandangkan dia sudah berakal berbanding Nail yang masih tidak mengerti apa-apa. Setiap kali saya mengucapkan salam (Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh disusuli dengan nama penuh masing-masing), Nabiha dengan segera menjawab salam yang ditujukan khusus untuk dirinya. Kemudian, dia akan berbuat sedemikian rupa kepada saya pula. Jadi, kami sama-sama memohon kepada Allah SWT untuk memberi kesejahteraan ke atas satu sama lain.

Sememangnya Nabiha mudah dididik dan saya amat berharap, langkah yang sama dituruti oleh Nail. Kata orang tua, doa anak lelaki untuk ibu bapanya lebih makbul berbanding anak perempuan. Perkara ini merujuk kepada doa si anak yang telah berumah tangga. Doa anak perempuan kononnya dikatakan terhijab kerana perlu meminta keizinan daripada suaminya terlebih dahulu.

Saya tidak pasti dengan tanggapan sebegini kerana belum pernah mengajukan persoalan ini kepada mereka yang lebih arif. Apa yang pasti, saya mahu kedua-dua orang anak saya, Nabiha dan Nail (dan jika ada rezeki, adik-beradik mereka yang lain), sentiasa mendoakan kesejanteraan buat saya dan suami semasa hayat masih ada, apatah lagi setelah kami kembali ke rahmatullah apabila tiba masanya kelak.

Salam,
Jastina Ijjas






No comments:

Post a Comment