Wednesday, 15 January 2014

URUTAN PERINEUM

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com

Salam,

Hari ini, seawal pagi saya didatangi oleh seorang teman sekerja yang kini sedang hamil 33 minggu bertanyakan tentang URUTAN PERINEUM yang betul. Sebelum ini pun dia selalu bertanya jika ada apa-apa kemusykilan. Saya lihat dia begitu aktif dan interaktif dalam mencari ilmu tidak kira kehamilan, kelahiran dan penyusuan susu ibu. Jauh di sudut hati, saya bangga dengannya kerana inilah contoh baik untuk para ibu moden masa kini.

Suatu ketika dahulu saya pernah berkongsi pengalaman melahirkan Nail kepada teman-teman selepas cuti bersalin. Saya berjaya melalui proses kelahiran normal dalam masa yang singkat. Selain daripada izin daripadaNya, saya percaya ia adalah hasil daripada amalan menggunakan minyak kelapa dara sewaktu urutan perineum dilakukan.
         
Dalam usaha untuk bersalin secara normal, saya cuba melakukan urutan perineum supaya ia dapat meregang dengan baik apabila tiba masa untuk bersalin. Dalam masa yang sama saya mahu mengelakkan episiotomi kerana ini adalah kali pertama saya mahu bersalin secara normal. Dahulu, Nabiha dilahirkan secara caesarean kecemasan kerana kedudukan kepalanya senget. Ia hanya dapat dikesan setelah bukaan serviks 9sm!

Kalau diikutkan ibu hamil digalakkan melakukan urutan ini bermula daripada minggu ke-34 kehamilan sehingga tiba saat mahu melahirkan. Tetapi saya hanya memulakannya pada minggu ke-36. Semuanya salah sendiri kerana tidak membeli minyak kelapa dara dari awal lagi. Minyak jenis ini atau apa sahaja jenis minyak berasaskan sumber semula jadi baik digunakan. Kita boleh gunakan minyak zaitun dan minyak kelapa juga ya. Tetapi elakkan minyak bayi, jeli petroleum atau minyak lain yang ada sumber bahan kimia di dalamnya.

Saya mengurut perineum dua kali sehari. Biasanya selepas mandi pada waktu pagi dan malam hari. Sumber Internet ada menyatakan yang kita boleh meminta suami melakukan urutan ini. Tetapi saya lebih selesa melakukannya sendiri.

Memandangkan di akhir terimester, bilik air adalah antara lokasi yang sering dilawati untuk membuang air kecil, maka kita digalakkan untuk melakukan urutan perineum juga. Berdasarkan pengalaman sendiri, dalam kebanyakan masa saya tidak lakukannya tetapi tegar kepada peraturan dua kali sehari iaitu mengurut di waktu pagi dan petang.

Biarpun hanya mengamalkan urutan perineum hanya tiga minggu tetapi hasilnya memang memberangsangkan. Pembukaan serviks cepat dan tiada koyakan. Semuanya berjalan lancar. Tetapi agak malang buat saya kerana bidan tetap melakukan episiotomi bagi melancarkan kelahiran. Saya bersalin di Hospital Sungai Buloh yang mana trafik ibu bersalin sangat sesak. Jadi, saya reda walaupun pada asalnya mahu menghindarkan diri daripada episiotomi.

Berikut, saya susunkan langkah demi langkah urutan perineum. Semoga ada manfaatnya dan selamat berurut!

1. Cuci tangan terlebih dahulu. Pastikan juga kuku tidak panjang kerana ia mungkin mengandungi kuman yang boleh menyebarkan penyakit.

2. Sandar pada bantal di atas katil atau sofa sambil bengkokkan lutut. Kedudukannya adalah sama seperti mengangkang.

3. Sapukan jari dengan minyak pilihan. Saya gunakan minyak kelapa dara.

4. Masukkan jari telunjuk ke dalam dinding faraj. Lebih kurang 1 inci ke dalam faraj.

5. Empat jari yang lain perlu berada di bahagian punggung.

6. Tekan jari telunjuk ke bawah iaitu ke arah dubur dan ke tepi sehingga mengalami sedikit rasa tegang.

7. Terus lakukan langkah 6 dalam lebih kurang seminit atau dua minit.

8. Lakukan urutan ini sehingga meliputi keseluruhan perineum. 

9. Kemudian, lakukan senaman Kegel atau bahasa pasarnya, buat  kemutan pada bahagian faraj.  Sama seperti kita menahan kencing atau menahan angin keluar. Tahan selama 10 saat dan lepaskan 10 saat. Ulang semula sehingga 10 kali.

Salam,
Jastina Ijjas

Tuesday, 14 January 2014

SELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google

Salam,

Saya suka menulis! Sejak melibatkan diri dalam dunia penulisan, saya sedaya upaya memastikan tulisan yang diamanahkan editor, sarat dengan ilmu untuk tatapan para pembaca majalah keibubapaan dan prasekolah nombor satu di Malaysia – Pa&Ma.

Oleh sebab itu, di dalam blog ini, saya mahu terus menyebarkan ilmu yang diperoleh. Agenda di sebaliknya ialah saya berharap perkongsian ilmu-ilmu oleh diri ini dapat membantu saya mengumpul pahala amal jariah yang bakal dibawa bersama apabila sudah tiada kelak.

Merujuk kepada kalendar Islam, hari ini (14 Januari 2014) ialah 14 Rabiul Awal 1435H iaitu tarikh ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW. Pada hari ini (dan pada hari-hari lain juga), kita sangat digalakkan untuk berSELAWAT ke atas Rasulullah SAW. 

Dengan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW, ia menandakan kita kasih kepada Baginda SAW. Apabila kita suka, kasih, sayang dan cinta kepada seseorang, pasti kita selalu menyebut dan memujinya bukan? Jadi, samalah halnya jika kita kasihkan Rasulullah SAW. Selalulah kita berselawat ke atasnya.

Allah SWT telah berjanji akan turunkan 10 kali rahmat ke atas diri pengucapnya. Wow! Begitu mudah untuk kita mendapat rahmatNya. Ada satu info yang pernah saya baca menyatakan Allah SWT akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak pernah disangka kalau kita selalu berselawat saban hari.  

Atas sebab itulah, saya selalu nasihatkan Nabiha (tidak lama lagi Nail pula) untuk selalu berselawat kepada Rasulullah SAW. Saya pernah terbaca bahawa jika seseorang itu mengamalkan selawat 1000 kali sehari, in sha Allah, dia akan dikurniakan pemikiran yang bijak (di samping berusaha untuk jadi orang bijak pandai). Kepada Nabiha, saya cuma syorkan 10 kali selawat setiap kali solat fardhu. 

Jadilah... Asalkan setiap hari Nabiha tidak putus memuji Baginda SAW. Pada pandangan saya, berapa pun hitungan selawat yang kita ucapkan setiap hari, Allah SWT pasti memberkatinya. Berkat selawat yang Nabiha lafazkan, diharap dia akan mendapat keredaanNya. Amin...

Ada macam-macam versi selawat tetapi saya galakkan Nabiha untuk amalkan selawat yang paling ringkas iaitu Allahumma sal-li ala Muhammad, wa'ala ali Muhammad. Tetapi, kadang-kadang dia tersasul juga berselawat dalam versi yang panjang. Apa-apa pun, yang penting bagi saya ialah dia tahu apa itu selawat.

Berikut saya tampilkan kelebihan selawat seperti mana yang saya peroleh daripada pembacaan di pelbagai sumber bahan bacaan. Semoga bermanfaat untuk semua dan diri saya sekeluarga juga. Wallahu 'alam.

Kelebihan selawat ke atas Rasulullah SAW
1.  Selawat sebanyak 3 kali yang dibaca dalam setiap solat fardhu akan membantu kita menghilangkan fikiran yang buntu apabila menghadapi sesuatu masalah. 

2. Dengan membaca selawat 7 kali pada air minuman, in sha Allah sakit perut atau perut memulas yang dialami akan sembuh.

3. Amalan selawat 11 kali selepas selesai menunaikan solat fardhu akan membantu kita menghapuskan dosa-dosa kecil. 

4. Sesiapa yang berselawat 11 kali setiap hari, Allah akan mengindahkan akhlaknya agar lebih disenangi, dihormati dan dihargai oleh orang lain.  

5. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami ilmu yang dipelajari dan pada masa yang sama beroleh ketenangan fikiran. 
6. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, In sha Allah dapat menghindarkan diri daripada sifat tercela seperti hasad dengki di dalam diri. 

7. Sesiapa yang berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, In sha Allah kita akan beroleh kebahagiaan sama ada di dunia mahupun di akhirat.  

8. Pada malam Jumaat, walaupun kita berselawat hanya sekali, Allah SWT akan mempermudahkan saat kematian kita. 

Salam, 
Jastina Ijjas

Monday, 13 January 2014

DOA & ZIKIR PENYUSUAN SUSU IBU

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Fail Ijjas Familia

Salam,

Salah satu koleksi foto stok yang berjaya dikumpul untuk kegunaan Nail di rumah pengasuhnya, Umi.
Kala menyusukan bayi, antara perkara yang selalu menggusarkan para ibu ialah susu tidak cukup untuk keperluan bayi. Saya pun tidak terkecuali daripada merasai pengalaman sebegitu.

Kebetulan, sehari sebelum umat Islam menunaikan rukun Islam yang ketiga, saya baru sahaja tamat tempoh berpantang 44 hari selepas melahirkan Nail pada tahun 2012 lalu. Jadi, saya seperti Muslimin dan Muslimat yang lain, turut berpuasa walaupun sedar ada kelonggaran untuk golongan ibu menyusu seperti saya.

Berdasarkan pengalaman, saya akui, berpuasa sedikit sebanyak mengganggu kelancaran penghasilan susu ibu. Tetapi, saya tidak jadikannya sebagai alasan untuk tidak terus menyusukan Nail dan pada masa yang sama mengumpul stok perahan susu ibu kerana baki cuti bersalin hanya tinggal lebih kurang dua minggu.

Untuk itu, saya banyakkan minum air. Saya ambil lebih kurang tiga liter air kosong sehari. Ia diambil selepas berbuka puasa dan juga sebelum habis waktu imsak. Sepanjang malam selepas menyusukan Nail pun, saya tidak lupa minum air. Kiranya, bekas berisi air kosong dan diri saya umpama isi dan kuku yang memang tidak dapat dipisahkan. Di mana ada saya, di situ akan ada bekas air.

Menu berbuka puasa pun kebanyakannya berasaskan cecair. Sup, tom yam, masak singgang dan lain-lain. Malah sayur-sayuran pun dimasak tumis air. Antaranya lobak putih, sawi putih, bayam, sayur campur berupa brokoli, lobak merah dan lain-lain semuanya bergenang dengan air.

Sesungguhnya, saya sangat percaya pada kuasa DOA & ZIKIR. Saya yakin, setiap usaha yang dikerjakan tidak akan berhasil tanpa izin daripadaNya.
Jadi, setiap kali selepas solat lima waktu mahupun solat sunat saya akan memanjatkan doa yang berbunyi lebih kurang begini: “Ya Allah, permudahkan segala urusan kehidupanku, banyakkanlah susuku untuk Nail Ariq Ijjas dan permudahkan perjalananku untuk menyusukan dia agar dapat menuruti segala yang telah Engkau syariatkan.”

Selain itu, saya turut berdoa supaya Allah SWT murahkan rezeki Nail dan makbulkan impian saya untuk menyempurnakan penyusuan susu ibu sehingga Nail berumur dua tahun ataupun lebih.

Sebelum menyusu atau mengepam, saya tidak lupa mendahulukannya dengan bacaan Bismillah dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Doa-doa yang dinyatakan di atas juga saya baca ketika menyusukan Nail mahupun semasa mengepam susu. Sambil menyusu atau mengepam, saya akan baca doa-doa ini dan usap kedua-dua belah payu dara.

Saya juga tidak putus-putus berzikir Ya Matin yang bermaksud Maha Sempurna KekuatanNya setiap hari. Jika diikutkan, kita digalakkan berzikir Ya Matin 70 kali setiap hari pada waktu Subuh dan malam hari. Tetapi lain halnya dengan saya. Zikir ini berulang kali diucapkan tidak kira masa dan kebanyakannya pada waktu saya menyusukan Nail dan mengepam susu. 

Zikir Ya Matin juga saya baca dan hembuskan pada air minuman. Jadi, setiap kali menyusu atau mengepam, saya akan minum air yang mengandungi unsur kekuatan yang sempurna itu. Wallahu 'alam.

Sebagai ibu, sudah pasti kita mahu memberikan hanya terbaik untuk si manja. 
Yakinlah! Dia akan mempermudahkan urusan kita yang satu ini. Jadi, selamat mengamalkan doa dan zikir, yang saya amalkan ini. Semoga ia membantu kita semua terus kuat semangat dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Saya boleh buat, tidak mustahil anda-anda yang lain pun boleh melakukannya juga. In sha Allah.

Salam,
Jastina Ijjas

Sunday, 12 January 2014

DANA KECEMASAN

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Sumber google

Salam,

Empat hari yang sudah, saya berkesempatan berborak panjang dengan beberapa teman sepejabat ketika dalam perjalanan ke tugasan di ibu kota. Maklum sahajalah sesekali berpeluang berkumpul di dalam satu kereta, macam-macam hal yang kami bualkan.

Dalam banyak-banyak isu yang kami bangkitkan, saya tertarik dengan kisah seorang teman yang berkongsi pengalamannya menemubual Mohd Sofian Abdullah atau Ir Sofian yang merupakan jutawan logam di Malaysia.

Menurut Ir Sofian, bahang inflasi yang sedang kita depani sekarang hanya "sipi-sipi" sahaja. Kemuncaknya ialah pada tahun 2015 dan 2016 kelak. Kegawatan ekonomi ketika itu akan menyebabkan ramai tidak berbelanja lalu melumpuhkan sistem ekonomi. Syarikat besar berkemungkinan cuba mengurangkan kos dengan memberhentikan khidmat tenaga sumber manusia. Syarikat kecil yang tidak kompetitif pula dijangka "bungkus" dan "gulung tikar".

Merenung kehadiran 2015 yang bakal menjelang lebih kurang 11 bulan lagi, membuatkan saya terkesima. DANA KECEMASAN yang saya dan suami kumpulkan selama ini belum cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga untuk tempoh enam bulan.

Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), dana kecemasan individu atau keluarga perlu ada untuk kegunaan perbelanjaan dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Dana ini diperlukan untuk melindungi diri kita dan keluarga apabila terpaksa berhadapan dengan situasi yang tidak diduga. Ingat ya! ia untuk KE-CE-MA-SAN. Jangan pula digunakan untuk lain-lain tujuan. 

Selama ini saya berpegang kepada prinsip - Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Memang pada saat awal saya dan suami memutuskan untuk mewujudkan dana kecemasan, soalan pertama yang timbul - "Dari mana kami mahu "korek" duit untuk menyimpan jika berlaku hal yang tidak dijangkakan?"

Oleh kerana itu, rombakan bajet kami lakukan. Kami peruntukkan terlebih dahulu sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan bulanan untuk diagih-agihkan kepada beberapa akaun simpanan. Simpanan untuk diri sendiri, simpanan untuk anak-anak, simpanan lain-lain termasuklah simpanan khas untuk hal-hal kecemasan.

Simpanan kecemasan yang kami peruntukkan sedikit sahaja. Cuma RM100 setiap seorang setiap bulan. Apa-apa pun kami istiqamah dalam melakukannya sejak empat tahun yang lalu. Kami simpan dana ini di dalam satu akaun khas di bank yang mempunyai kad ATM supaya mudah duit dikeluarkan di saat-saat memerlukan. Tetapi kad ATM itu, saya sorokkan di dalam buku akaun simpanan supaya tidak selalu berada di depan mata. Bukan apa, takut saya atau suami pecah amanah pula.

Melalui pencarian maklumat mengenai dana kecemasan di google beberapa tahun yang lalu, ada informasi menyatakan selain daripada akaun simpanan bank, kita juga boleh menyimpan di dalam amanah saham milik kerajaan. Tujuannya ialah memastikan keselamatan modal dan pada masa yang sama ada pulangan yang berpatutan. Malah, ada cadangan supaya lebihan dana disimpan dalam bentuk emas tetapi pastikan dahulu duit yang disimpan cukup untuk kegunaan enam bulan.

Satu lagi info menarik perhatian saya ialah setiap jumlah wang yang diambil dari dana kecemasan perlu diganti semula. Ya, sepatutnya begitulah. Ia seperti sistem bayar kad kredit tetapi dalam hal ini tiada interest. Yang ini, kami "kalah" sebab masih gagal membayar "hutang" wang yang sudah dibelanjakan (pembayaran wang pendahuluan kemasukan ke wad hospital, servis kecemasan kereta dan motor, yuran pendaftaran kelas tambahan anak dan macam-macam lagi) kepada dana kecemasan. 

Oleh sebab itulah sehingga kini kami tidak berjaya menyediakan dana kecemasan enam bulan. Nampaknya, saya kena ubah strategi penyediaan bajet bulanan mulai tahun ini. Saya perlu pertimbangkan untuk membayar semula "hutang" itu supaya apabila Ijjas Familia menjejak ke tahun 2015, dana kecemasan cukup untuk kegunaan kami apabila diperlukan. Wallahu a'lam.

Inilah serba sedikit maklumat yang saya kongsikan tentang dana kecemasan. Marilah kita sama-sama sediakan payung sebelum tsunami kewangan melanda.

Salam, 
Jastina Ijjas

Saturday, 11 January 2014

JOM JIMAT ELEKTRIK

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Galeri telefon bimbitku

Salam,

Sejak September 2013, kita dikejutkan dengan rantaian kenaikan harga. Daripada petrol, rokok, gula dan terkini, kenaikan taraf elektrik. Ya! tahun 2014 ini, banyak mengajar saya dan seisi keluarga untuk terus istiqamah dalam melakukan penjimatan perbelanjaan harian.

Memandangkan tarif elektrik naik sehingga 15%, risau juga jumlah bil elektrik yang biasa digunakan meningkat di dalam bil baharu yang akan tiba tidak lama lagi. Lainlah jika bil kita di bawah RM20 sebulan, dapatlah sedikit keuntungan daripada situ bila mana bil elektrik itu adalah percuma.

Sejak dari kecil saya telah diajar oleh arwah abah untuk berjimat-cermat. Termasuklah JIMAT ELEKTRIK. Oleh itu, saya dan suami cuba tegaskan pada anak-anak terutamanya si Nabiha untuk sama-sama membantu kami menjimatkan tenaga kuasa elektrik. Bukan di rumah sahaja tetapi di mana-mana jua. Semoga didikan arwah abah kepada saya dapat diterapkan pada Nabiha dan Nail juga.

Dalam entri ini, saya mahu berkongsi langkah penjimatan elektrik yang mudah (tetapi sering diambil mudah!). Ia adalah satu lagi langkah penjimatan yang boleh kita laksanakan selain daripada berjimat dalam penggunaan petrol (boleh rujuk entri saya sebelum ini).

Sama-samalah kita praktikkan tip jimat eletrik yang pernah arwah abah "turun"kan kepada saya ya. Selain itu, saya juga ada selitkan beberapa tip baharu yang kami sekeluarga amalkan sesuai dengan perkembangan semasa di zaman ini. 

Bil elektrik semasa Ijjas Familia

Lampu
  • Padam suis lampu di semua ruang atau bilik yang tiada sesiapa di situ. 
  • Guna satu mentol lampu yang besar berbanding mentol bersaiz kecil tetapi banyak bilangannya untuk mendapat lebih pencahayaan.
  • Lampu berteknologi LED baik digunakan kerana ia mengunakan tenaga elektrik yang minimum. 
Televisyen
  • Padam suis televisyen setiap kali tidak digunakan. Elakkan penggunaan  mod standby.
Mesin basuh
  • Basuh baju apabila muatan penuh sahaja tetapi jangan sampai overload. Selain dapat jimat elektrik, kita boleh jimat air juga.
Peti sejuk/ peti ais
  • Peti ais (freezer) yang kosong membazir tenaga elektrik. Elakkannya dengan membuat ketulan kiub ais di dalam bekas yang bersesuaian.  
  • Elak simpan makanan yang panas atau baru dimasak ke dalam peti sejuk. 
  • Tempatkan peti sejuk/ peti ais di kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik.
Seterika
  • Keluarkan pakaian yang perlu digosok dengan segera dari dalam mesin basuh. Jadi, ia tidak terlalu berkedut dan memudahkan proses menggosok.
  • Gosok pakaian yang perlu dipakai untuk tempoh lima hari bekerja atau bersekolah sekali gus. Kita boleh mengelakkan pembaziran pemanasan semula seterika setiap kali digunakan.
Penghawa dingin 
  • Tetapkan suhu penyaman udara di antara suhu  24ºC hingga 26ºC.  
  • Penghawa dingin yang tidak diservis terpaksa bekerja keras untuk menyejukkan bilik kita. Cuci penapis penghawa dingin sekurang-kurangnya enam bulan sekali.
 Gajet
  • Pilih model yang boleh menjimatkan tenaga. Jadi, kita tidak perlu bimbang perlu selalu mengecas baterinya. 
  • Laptop atau komputer skrin rata komputer lebih menjimatkan tenaga berbanding desktop. 
Info tambahan
  • Mod standby biasanya menggunakan hampir 20% tenaga elektrik berbanding kegunaan biasa.
  • Tukar model lama apa-apa jua jenis alat elektrik terutamanya yang berusia lebih 10 tahun. Model lama biasanya menggunakan tiga kali tenaga elektrik berbanding model baru.
  • Gunakan car ciggarate point untuk mengecas barang elektrik menggunakan power inverter tetapi pastikan kita lakukannya ketika kereta bergerak.
  • Gunakan cat yang cerah untuk keseluruhan rumah. Ia membantu pemantulan cahaya daripada lampu yang dipasang dengan baik. 
  • Bersihkan semua alat elektrik dengan kerap. Habuk dan kotoran yang berkumpul di atas permukaannya akan memaksa alat elektrik kita "bekerja" kuat hingga menggunakan banyak tenaga elektrik. 
  • Rujuk label kecekapan tenaga setiap kali membeli alat elektrik. Label 5 bintang bermaksud lebih cekap (biasanya untuk peti sejuk/peti ais). Label ini dihasilkan oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Sharing is caring. Kalau ada info tambahan yang lain, jom kita kongsi sama-sama demi kebaikan bersama juga.

Salam,
Jastina Ijjas

MARI JIMAT PETROL

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Foto: Galeri telefon bimbitku

Salam,

Pagi semalam (10 Januari 2014), saya terbaca artikel di dalam akhbar online yang menyentuh tentang penafian oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan. Ia berkaitan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen untuk PETROL RON95. Ketika ini, harga pasaran RON95 ialah RM 2.10 seliter. Jika benar kerajaan mahu mengurangkan subsidi, bererti harga baru itu akan naik kepada RM 2.30 seliter. Oh tidak! Saya sangat berharap penyebaran berita ini adalah palsu semata-mata.

Namun, kita tidak dapat menduga turun naik harga petrol di Malaysia kerana ia dipengaruhi kuat oleh harga pasaran minyak dunia. Apa yang terdaya kita lakukan ialah terus-menerus melakukan langkah penjimatan yang diharap dapat mengurangkan serba sedikit beban yang ditanggung. Jadi perbelanjaan harian keluarga tidak terusik akibat kenaikan harga petrol ini.

Di sini saya mahu berkongsi maklumat yang saya kumpul bagi menJIMATkan penggunaan PETROL. Ada sesetengah daripadanya memang sudah lama saya dan suami amalkan. Ada juga ilmu baru yang saya terima dan akan cuba untuk mengamalkannya secara istiqamah. Jadi, sama-samalah kita berkongsi ilmu. Sharing is caring kan?


Tip jimat 1: Panaskan enjin
Sebaik-baiknya, sebelum memulakan perjalanan, kita perlu memanaskan enjin terlebih dahulu. Tetapi, jangan terlebih panas pula. Ini informasi baru buat saya. Menurut maklumat saya cari itu, enjin kereta hanya perlu dipanaskan lebih kurang 30 saat. Dalam masa yang sama jangan tekan pedal petrol semasa memanaskan enjin kerana ia akan menyebabkan pembaziran.

Tip jimat 2: Suhu sejuk 
Ketika suhu persekitaran panas, petrol yang diisi akan mempunyai wap berlebihan. Cuba perhatikan situasi sewaktu petrol diisi pada waktu tengah hari, pasti kita dapat lihat wap petrol keluar bukan? Di situ kita sudah rugi sebab tangki kereta bukan dipenuhi oleh petrol tetapi campuran wap di dalamnya. Untuk berjimat, ada baiknya kita isi petrol pada awal pagi, malam hari selepas pukul 10 malam atau selepas hujan turun (tidak kira siang atau malam) sebab pada waktu-waktu ini, suhu persekitaran adalah sejuk dan sangat sesuai untuk mengisi petrol.

Tip jimat 3: Tangki separuh penuh
Yang ini pun informasi baru buat diri saya. Semakin banyak baki petrol dalam tangki, semakin kurang kapasiti ruang udara yang dipenuhi wap. Jadi, sewaktu mengisi petrol dalam keadaan tangki kereta separuh penuh, kita dapat mengisi petrol pada tahap yang paling optimum.

Tip jimat 4: Perlahan-lahan
Cara seperti ini dikatakan dapat memastikan petrol dapat masuk sepenuhnya ke dalam tangki dan mengurangkan kes wap petrol meruap. Caranya ialah kawal picu pam dengan menarik secara separuh penuh. Jadi, kita dapat mengurangkan wap daripada keluar bersama-sama petrol. Agak sukar untuk mengikut tip ini sebab ia agak memakan masa. Bimbang juga dimarahi pekerja di stesen petrol. Hanya kerana kita seorang, kenderaan lain terpaksa beratur panjang pula. Apa-apa pun terpulang, tip ini boleh saja kita amalkan.

Tip jimat 5: Penyelenggaraan
Jangan culas periksa enjin, minyak pelincir enjin, spark plug, penapis udara, tali kipas dan lain-lain. Lakukannya secara berkala. Sebulan sekali pun boleh. Berdasarkan maklumat yang saya kumpul, penalaan enjin yang teruk meningkatkan penggunaan minyak hingga lebih 50 peratus!

Tip jimat 6: Tekanan angin tayar
Tayar yang diselenggara baik mampu mengurangkan petrol. Apabila angin tayar kurang, ia menyebabkan kereta kita berat dan akhirnya memaksa penggunaan lebih petrol. Jadi, apa kata setiap dua minggu atau sebulan sekali, kita periksa tekanan angin tayar. Bukannya susah, selepas mengisi petrol, luangkan sedikit masa untuk memeriksanya. Untuk kebaikan kita juga kan?

Tip jimat 7: Kelajuan
Apabila kita memandu laju, lebih banyak petrol digunakan. Penggunaan petrol akan meningkat apabila kita emandu melebihi 90 kilometer sejam.

Tip jimat 8: Gear
Gunakan gear yang bersesuaian dengan tahap kelajuan. Apabila guna gear rendah untuk kelajuan yang tinggi, kita secara tidak sedar menyebabkan pembaziran petrol.

Tip jimat 9: Tingkap kereta
Tingkap kereta yang terbuka atau sengaja dibiarkan terbuka tanpa sedar akan membazirkan petrol. Rintangan angin yang berlaku akan menyebabkan kereta bergerak perlahan. Apabila ia berlaku, tentu sahaja kita akan menekan pedal petrol untuk melancarkan pergerakan kereta.

Tip jimat 10: Kurangkan beban
Kereta yang berat akan memaksanya meningkatkan penggunaan petrol. Jadi, pastikan kereta kita
tidak penuh dengan barang-barang yang tidak perlu. Ingat! Kereta kita bukannya stor.

Itu sahaja maklumat-maklumat yang berjaya saya kumpul setakat ini. Semoga maklumat yang saya sampaikan ini bermanfaat untuk kita semua. Jika ada sebahagian tip-tip ini belum kita amalkan, apa kata kita mulakan sekarang. Jika ada yang mahu berkongsi tip yang lain, saya amat mengalu-alukannya.

Akhir kata, selamat berjimat!

Salam,
Jastina Ijjas

Thursday, 9 January 2014

KELEBIHAN TAHNIK PADA PENYUSUAN SUSU IBU

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com
Foto: Fail Ijjas Familia

Salam,

Saya memang teruja apabila diajak berbicara tentang perkara yang sangat “dekat” dengan diri ini. Saya suka bercerita tentang laktasi ataupun penyusuan susu ibu. Oleh sebab itu, hari ini saya mengambil keputusan untuk menyentuh tentang amalan TAHNIK yang turut dikenali sebagai belah mulut.

Pengertian tahnik dari segi bahasa adalah mengunyah sesuatu dan meletakkannya di mulut bayi. Oleh sebab itulah ketika melakukan tahnik kepada bayi, seseorang itu perlu mengunyah manisan, kemudian meletakkannya ke keseluruhan mulut hingga bahagian rongga tekak bayi.

Pada zaman Rasulullah SAW, para bapa lazimnya meminta Nabi Muhammad SAW untuk melakukan tahnik ke atas bayi mereka. Dalam era masa kini kebiasaannya, orang yang diberi keutamaan untuk melakukan tahnik terdiri daripada individu yang alim dan berilmu seperti ustaz. Dengan demikian, sudah pasti ustaz berkenaan akan memanjatkan doa kesejahteraan khusus buat bayi selepas selesai bertahnik.

Sememangnya tahnik sunat dilakukan oleh orang yang warak. Dengan harapan bayi akan menjadi soleh, sama seperti orang yang melakukan tahnik ke atas dirinya. Jika tidak berpeluang mendapatkan orang alim, diri kita sendiri, suami ataupun ahli keluarga lain yang berwibawa pun boleh melakukannya juga.

Kebaikan melakukan tahnik ialah menguatkan bahagian otot yang bayi gunakan dalam proses penyusuan, lidah dan mulutnya. Jadi, ia dapat mempersiapkan bayi untuk belajar memahirkan diri menyusu susu ibu dengan sebaik-baiknya. Selain daripada itu, ia juga berupaya memberi bayi tenaga, merangsang penghasilan antibodi secara semula jadi dan mampu menimbulkan rasa tenang kepada si bayi.

Dalam melakukan tahnik, lazimnya buah kurma digunakan. Kurma dikunyah terlebih dahulu, kemudian diletakkan di atas jari telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi. Seterusnya, isi kurma itu disapu ke bahagian lelangit, lidah hingga ke rongga tekak. Ia perlu dimulai daripada bahagian kanan ke kiri.

Sebelum melakukannya, bacalah Bismillah, surah Al-Fatihah dan diiringi selawat ke atas Rasulullah SAW. Dalam pada itu, jika tiada bekalan kurma, madu, air gula atau jenis manisan yang lain boleh dijadikan ganti. Namun, setahu saya elakkan penggunaan makanan manis yang telah dimasak seperti kuih-muih, coklat dan sebagainya.

Wajah Nail saat baru berusia satu hari.
Bercerita tentang pengalaman tahnik, saya sebenarnya tidak melakukannya selepas Nabiha dilahirkan. Hal ini berlaku kesan daripada sikap terlalu taksub dengan konsep penyusuan susu ibu secara eksklusif di mana bayi tidak boleh diberikan makanan atau minuman lain selain daripada susu ibu dalam tempoh enam bulan pertama selepas kelahiran. Betapa naifnya saya ketika itu. Sungguh! Saya bersalah kepada Nabiha kerana tidak merangsang dia untuk belajar menyusu dengan baik sejak dari awal.

Daripada situ, saya belajar daripada kesilapan. Saya mula “membuka” mata dan berfikir menggunakan logik akal. Tahnik adalah sunah Rasulullah SAW. Sudah tentu ia ada kebaikannya. Ya! Tahnik memang ada keistimewaan tersendiri dalam membantu ibu dan bayi menjayakan penyusuan susu ibu.

Secara logiknya, dengan melakukan tahnik, bayi bukan diberi makan kurma, sebaliknya cuma berpeluang merasai rasa manis kurma di kawasan dalam mulutnya sahaja. Ia tidak masuk ke bahagian dalaman tubuh bayi sehingga boleh mengganggu gugat proses penyusuan susu ibu.

Saya tekad melakukan sendiri tahnik ke atas Nail semasa berada di wad hospital kerana melihat daya hisapan Nail agak lemah sewaktu menyusukan dia selepas selamat melahirkan. Mungkin ia dipengaruhi oleh kesan sampingan pethidine yang saya ambil untuk mengurangkan rasa sakit kontraksi. Sedih melihat dia seperti mengantuk kala menyusu.

Selepas tahnik dilakukan, memang menakjubkan! Daya hisapan Nail semakin baik. Melihatkan dia mula mahir menyusu, berkobar-kobar semangat saya untuk terus menyusukan Nail dan cuba mengatasi rekod penyusuan Nabiha terdahulu.

Begitu kuat penangan tahnik kerana berjaya merangsang Nail untuk menyusu dengan sebaik mungkin. Dia berjaya memperoleh kolostrum secara terus daripada payu dara. Dahulu, Nabiha memperoleh kolostrum melalui sudu selepas saya memerah payu dara. 

Apa-apa pun, saya berbangga dapat menyusukan kedua-dua orang anak saya ini dengan susu ibu. Kini, impian saya ialah melengkapkan tempoh dua tahun menyusukan Nail yang masih berbaki lima bulan lagi. Jika diizinkan Allah SWT, in sha Allah saya akan terus menyusukan Nail sehinggalah dia sendiri secara suka rela mahu bercerai susu secara semula jadi.

Salam, 
Jastina Ijjas