Thursday, 23 July 2015

AIR NABEEZ = INFUSED WATER CARA SUNAH

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com

Salam,

Sebelum ini saya banyak terdedah dengan pelbagai resipi infused water ataupun air detoks menggunakan buah-buahan dan sayur-sayuran. Ada beberapa resipi telah saya (dan Nabiha... juga Nail) cuba. Memang berkesan! Kami bertiga sangat sukakannya.

Dalam bulan Ramadhan lepas, baru saya tahu yang kurma dan kismis pun boleh dijadikan bahan utama infused water. Apatah lagi, ia adalah amalan Rasulullah SAW. Berdasarkan pembacaan, AIR NABEEZ digemari Baginda.

Ia dihasilkan dengan merendam beberapa biji kurma atau kismis (dalam bilangan ganjil) ke dalam bekas bertutup berisi air kosong selama semalam. Seelok-eloknya dibuat pada waktu petang atau malam.

Selidik punya selidik melalui encik Google, rupa-rupanya ada do and dont’s dalam membuat air nabeez ni. Kita kena pilih sama ada mahu buat air nabeez guna kurma atau kismis. Kita tak boleh gabungkan kedua-duanya bersama-sama.

Apa yang seronoknya, air nabeez boleh disimpan di dalam peti sejuk. Sedap kan dapat minum sejuk! Ia boleh tahan dalam masa satu ke dua hari. Tetapi kita dilarang meminum air nabeez yang disimpan lebih daripada tiga hari. Sebabnya, proses penapaian berlaku apabila kurma atau kismis dibiarkan terendam melebihi tiga hari.

Bagi saya, air yang fresh lebih sedap. Tak perlu disimpan lama. Semalaman pun dah cukup. Sama seperti infused water, air nabeez ini saya simpan dalam peti sejuk untuk tempoh semalaman sahaja dan kami akan habiskannya dalam masa satu hari.

Air nabeez juga boleh diubahsuai menggunakan susu atau yogurt untuk dijadikan smoothie. Caranya sama saja. Rendam dan paling penting simpan dalam peti sejuk supaya susu atau yogurt tidak rosak.

Kalau “orang putih” popularkan infused water, apa kata kita sebagai umat Nabi viralkan air nabeez pula. Air nabeez adalah minuman berakali! Ia mampu menolong kita membuang asid daripada sistem pencernaan. Dalam masa yang sama menyingkirkan toksin daripada badan kita. Pendek kata, air nabeez sama seperti infused water tau!

Bagi saya, air nabeez ini bagus untuk Nabiha dan Nail (serta Nuha juga yang memperolehnya melalui susu ibu) disebabkan kurma kaya dengan pelbagai zat makanan. Manakala kismis pula tinggi fruktosa dan glukosa (gula ringkas) yang baik untuk menguatkan daya ingatan.

Syukur, dari semasa ke semasa kita didedahkan dengan pelbagai maklumat pemakanan Baginda Rasulullah. Jom kita sama-sama amalkan sebab gaya hidup cara sunah memang terbukti baik untuk kehidupan kita.

Salam,
Jastina Ijjas







Sunday, 3 May 2015

MUSHROOM SOUP RINGKAS

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Pernah suatu hari, bos saya bersuara, "Dah tua nanti apa agaknya signature dish yang anak-anak minta ye?" Lantas kepala ni ligat berfikir... Saya ni bukan pakar memasak, cuma boleh masak ala kadar. Itu pun lauk-lauk yang saya, suami dan anak-anak suka. Bolehlahhh kata orang.

Akhirnya jawapan signature dish yang mungkin Nabiha Ai'sha minta bila saya dah tua nanti... MUSHROOM SOUP! Malah, menu ini jugalah yang dia minta saban minggu kalau saya tak bekerja di hujung minggu.

Sejak bayi, Nabiha memang suka makan western food. Itu kesan yang saya nampak hasil daripada kegemaran saya waktu mengandung dulu. Lauk pauk Melayu memang dia kureng. Sejak akhir-akhir ni saja dia mula belajar makan makanan yang patutnya sesuai dengan identiti dirinya.

Saya sendiri memang suka masakkan Nabiha mushroom soup menggunakan resipi daripada majalah Nur yang disiarkan sekitar tahun 2005 dulu. Ringkas, mudah dan yang paling penting banyak sayur. Sesuai sungguh untuk Nabiha yang tak suka makan sayur tu.

Kalau ada anak-anak yang suka tolak sayur, resipi ini sesuai sebab anak kita tak perasan pun kewujudan sayur. Mari saya kongsikan resipinya...

Bahan-bahan:
250 gm cendawan tiram (dicarik halus)
1/2 tin cendawan butang (dipotong 4)
1/2 bawang Holland saiz sederhana (dihiris nipis)
1 batang leek (dipotong dengan saiz seinci)
1 batang saderi (bukan sepokok. nanti sup terlalu berserat pula. dipotong sama seperti leek)
1 kiub pati ayam (saya gunakan 8 - 10 kiub stok ayam homemade)
Air secukupnya
Minyak masak/ zaitun
1/2 cawan susu segar (boleh juga ganti dengan susu cair)
Garam dan serbuk lada putih

Cara memasak:
1. Tumis bawang Holland guna minyak pilihan sehingga layu.
2. Masukkan cendawan butang. Tumis hingga diyakini separuh masak. Kemudian masukkan cendawan tiram dan tumis hingga layu. Kalau tumisan nampak kering, masukkan sedikit air.
3. Masukkan leek dan saderi dan masak hingga nampak sedikit layu.
4. Masukkan kiub ayam dan air secukupnya. Memadai separas tumisan sayur-sayuran ini. Tunggu hingga mendidih dan biarkan suam sebentar.
5. Bila sudah suam, keluarkan cendawan butang dan potong menjadi kiub kecil. Bahan-bahan selebihnya dikisar halus menggunakan sup secukupnya.
6. Masukkan kesemua bahan kembali ke dalam periuk. Dengan api sederhana, masak sup ini dengan memasukkan susu segar, garam dan serbuk lada sulah secukup rasa.

Taraaaa! siap dan sedia untuk disantap!
Bahannya mudah, cara memasak ringkas dan cepat disediakan kan?

Resipi ini boleh diolah mengikut selera masing-masing. Boleh letak ayam, carrot, kentang ataupun gunakan tepung gandum/jagung untuk pekatkan sup.

Harap perkongsian resipi ini dapat kita manfaatkan bersama. Bolehlah dibuat untuk makan malam nanti. Sedap dimakan dengan roti bawang putih. Di entri lain, saya akan kongsikan cara saya buat garlic spread ya...

Selamat mencuba!

Salam,
Jastina Ijjas








Wednesday, 29 April 2015

KIUB STOK AYAM UNTUK BAYI

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com
Foto: lensa ijjas

Salam,

Makanan bayi bawah setahun perlu bebas daripada sebarang jenis bahan perasa! Informasi penting ini saya pegang sejak daripada anak sulung lagi. Biarpun diasak dengan paksaan untuk memasukkan garam ke dalam bubur nasi anak, saya tetap teguh dengan pendirian diri.

Saya mahu anak makan makanan bebas bahan perasa. Tambahan pula, ada ahli keluarga saya meninggal dunia akibat kanser usus. Perkataan kanser itu menggerunkan dan saya tidak mahu masalah yang sama menyelubungi anak-anak saya pula. Nauzubillah... mohon dijauhkan... aamiin...

Selain daripada garam, bayi juga belum boleh diperkenalkan dengan gula, kicap dan jenis-jenis bahan perasa yang lain. Alasan kukuh larangan ini kerana buah pinggang bayi belum matang sepenuhnya. Ia belum mampu memainkan peranan untuk proses bahan-bahan itu. Oleh sebab itu, saya gigih dan ketagih sediakan STOK AYAM untuk bubur Nuha Amna. Setiap hari, di dalam buburnya saya akan masukkan kiub stok ayam supaya rasanya tidaklah kosong sahaja.



Inilah rupa stok ayam untuk Nuha sebelum dibekukan.
Di dalam stok ayam yang saya sediakan itu sudah pasti ada rasa ayam. Selain daripada itu, masin dan manis semula jadi juga ada. Rasa masin daripada batang saderi dan manis pula daripada bawang Holland dan carrot. Di sini saya kongsi resipi yang saya olah sendiri hasil daripada gabungan beberapa resipi yang saya kumpul daripada pelbagai sumber.

Bahan-bahan:
Rangka, tengkuk, kaki, tulang dan sedikit isi ayam
1 batang leek
1 batang saderi (bukan 1 pokok ya...)
1 batang carrot
1/2 bawang Holland sederhana besar
Rempah tumis (kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang)
Air (ikut jumlah bahan yang disediakan. Biarkan air memenuhi ruang bahan-bahan di dalam periuk)

Cara-cara:
·        Masukkan semua bahan ke dalam periuk.
·        Masak sekurang-kurangnya 3 jam dengan api sederhana. Boleh juga gunakan slow cooker
·       Selepas 3 jam, biarkan stok ayam suam. Buangkan rempah tumis, kemudian kisar halus semua bahan kecuali tulang dan rangka ayam.
·        Masukkan bahan kisaran ke dalam bekas kiub yang bertutup. Saya dapatkan bekas ini di Giant setelah puas mencarinya di banyak pasar raya yang lainnya.
·        Setelah beku, keluarkan kiub yang terhasil dan masukkan ke dalam seal plastic bag. Untuk makluman, jangka “hayat” stok ini adalah sebulan daripada tarikh penghasilannya.

Menariknya, resipi stok ayam Nuha ini juga, saya guna pakai dalam masakan kami anak-beranak. Saya hanya tambahkan garam dan serbuk lada hitam apabila tempoh memasak stok ayam menghampiri tempoh 3 jam. Cuma ia tidaklah sesedap kiub ayam yang dijual di pasaran yang sudah pasti ditambah dengan beberapa bahan perasa untuk menambahkan kelazatannya.

Apa-apa pun, saya puas menggunakan kiub stok ayam ini sebab ia bebas daripada MSG. Sekurang-kurangnya, saya dapat mengehadkan amaun bahan-bahan perasa tiruan ke dalam tubuh badan saya dan anak-anak. Maklum sahajalah, bila makan di luar, susah kita nak kawal semuanya. Seboleh mungkin, kawal apa yang kita mampu. Ya, kita mampu mengubahnya.

Salam,
Jastina Ijjas

Monday, 27 April 2015

DOA MAKAN UNTUK CARI PARKIR

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com
Gambar: sumber google
Salam,

Selepas waktu rehat tadi, saya keluar bersama rakan sekerja kerana mahu mencari prop sesi foto Cover Pa&Ma, Rabu nanti. Dua lokasi kami pergi. Kedua-duanya sukar benar nak dapatkan parkir. Saya seperti biasa akan baca doa memudahkan urusan – Rabbi yassir wala tuassir rabbi tammin bil khair... In sha Allah, dengan izin Allah dengan membaca doa ini, kita akan peroleh apa yang dihajati. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat parkir di kawasan yang sememangnya jadi idaman orang di kala cuaca hujan. Saya dapat parkir betul-betul berhadapan dengan pintu masuk kedai. Syukur sangat-sangat.

Selesai mencari prop di lokasi pertama, kami berganjak ke lokasi kedua pula. Sama seperti sebelum ini, saya terpaksa berpusing-pusing mencari parkir. Dalam hati, tak putus-putus membaca doa ini. Tiba-tiba rakan sekerja saya baca doa sebelum makan sambil tergelak sendiri. Katanya, kawan dia yang ajar kalau nak cari parkir. Saya katakan padanya, “Jangan gelak! Doa tu bukan khusus untuk dibaca sebelum makan je. Mak aku kata, sebenarnya doa tu doa rezeki.” Lantas, kami berdua sama-sama baca doa sebelum makan. Tidak lama selepas itu, ada sebuah kereta mengundur keluar. Yeay! Kami dapat “rezeki” (parkir)! Alhamdulillah.



Maksud doa sebelum makan: Ya Allah... Engkau berkatilah apa yang engkau telah berikan kepada kami dan jauhilah kami daripada azab api neraka. Hmm... memang ia tidak merujuk langsung bab makan kan? Jadi, memang tak salah kalau kita amalkan doa ini untuk cari parkir.

Nampak gaya lepas ni, saya boleh mula suruh Nail Ariq baca doa sebelum makan masa nak cari parkir sebab sekarang dia dah pandai mengajuk orang baca doa. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, saya tetap akan suruh Nabiha Ai’sha untuk buat amalan kebiasaannya iaitu membantu saya membaca doa memudahkan urusan setiap kali kami mencari parkir ketika keluar bersama.

Harap entri saya ni boleh bantu yang lain-lain atasi masalah sukar dapat parkir lepas ni. Selain baca doa memudahkan urusan... kita tambah lagi satu doa... iaitu doa sebelum makan yang mana ia lebih kepada doa rezeki. Selamat cari parkir...

Salam,
Jastina Ijjas

Friday, 10 April 2015

MAKANAN JEJARI

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

8 April 2015, genaplah 7 bulan umurnya Nuha Amna Ijjas binti Norjasmeen, anak bongsu yang istimewa di mata saya ini. Dia, saya katakan istimewa sebab lahir lima hari selepas pemergian suami yang saya cintai. Saya yakin anak istimewa yang saya panggil Nuha ini akan membesar sebagai insan yang hebat sama seperti kanak-kanak lain yang berpeluang merasai kasih sayang daripada insan bergelar ayah.

Nuha... mommy tahu, Nuha Amna Ijjas adalah anak yang bijak, tenang dan insan yang menakjubkan serta mampu menghadapi cabaran yang mendatang. Mommy, kakak Biha dan abang Nail sentiasa berdiri teguh di samping Nuha. Atas sebab itu juga, saya cuba beri yang terbaik melalui pemakanan Nuha.

Pada usia 7 - 9 bulan, bayi mula mahir menggunakan jejarinya dengan mengepit atau pincer grasp. Sebab itulah, kita akan lihat bayi sangat suka masukkan apa-apa objek ke dalam mulutnya. Memandangkan Nuha dah mula pandai menggenggam objek dan cepat saja tangan tu "menyambar" makanan yang terhidang di meja makan saat kami makan bersama, ia menjadi petunjuk kepada saya untuk mula beri peluang kepada Nuha untuk makan MAKANAN JEJARI! Dengan cara ini, Nuha dapat berlatih makan sendiri.

Yeay!!! Seronok tengok gelagat Nuha yang teruja saat makan sendiri sambil menggenggam makanan yang diberi. Antara jenis makanan jejari yang Nuha dah rasa tentulah buah-buahan. Saya lebih selesa ajar Nuha makan buah-buahan yang dipotong dalam bentuk jejari sebab ia manis semula jadi. Buah pilihan saya antaranya honey dew, sun melon dan rock melon. Memang air hasil daripada "gigitan" gusi Nuha akan meleleh-leleh... Tapi tak apa... ini salah satu daripada fasa perkembangan diri yang Nuha perlu lalui. Jadi, saya redha sahaja. Lepas makan tukar sahaja baju yang basah tu... Senang cerita... Tak usah "beratkan" kepala. Apa-apa pun, dalam masa terdekat ini, saya tetap akan ajar dia makan jejari roti, jejari roti bakar, jejari keju dan lain-lain.

Fakta yang saya dapat, kebanyakan bayi akan mencapai apa sahaja yang dia nampak dan mampu dicapai ketika berada di meja makan sekitar usianya 7 - 8 bulan. Memang jenuh melayan kerenah anak pada waktu ini. Sebagai alternatif, berikan anak sesuatu untuk dipegang tetapi pastikan ia bersih dan tidak akan mendatangkan kecederaan. Pada usia ini juga, si bayi mula meniru cara orang yang lebih dewasa mengunyah dengan menggerakkan rahangnya dari kiri ke kanan walaupun belum ada gigi. Tidak mengapa, inilah masa untuk bayi membiasakan diri untuk menelan makanan yang bersaiz lebih besar kelak.

Saya memang menantikan saat Nuha mencecah umur 7 bulan sebab saya boleh mula bereksperimen dan variasikan makanannya. Lepas ini makanan Nuha tak adalah terhad kepada bubur nasi yang dicampurkan dengan buah, sayur dan ubi-ubian sahaja. Saya dah boleh mula perkenalkan dia dengan pasta, ikan dan ayam pula. Doa saya, semoga Nuha terus membesar dengan sihat dan jadi cerdik bijak pandai. Aamiin... 

Salam,
Jastina Ijjas

Monday, 3 February 2014

MENYUSU KALA HAMIL SELAMAT


Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Pagi ini saya menerima ucapan tahniah dari teman-teman sepejabat atas berita kehamilan yang tersebar pantas. Hanya ucapan terima kasih mampu saya balas, di samping memohon mereka semua mendoakan kesejahteraan saya dan bayi dalam kandungan. 

Selain ucapan tahniah, saya turut ditanya sama ada masih menyusukan Nail ataupun sebaliknya. Jawapan saya, sudah tentu saya masih menyusukannya dan akan terus menyusukan, selagi Nail berkemahuan. 

Saya tekad meneruskan azam menyusukan Nail sekurang-kurangnya dua tahun. Andai ditakdirkan Nail memilih untuk berhenti lebih awal, saya reda kerana sudah melakukan sehabis baik dalam menyalurkan khasiat susu ibu buat dirinya.

Sememangnya, amalan penyusuan susu ibu semakin mendapat tempat di hati para ibu berkerjaya. Ramai mula sedar kebaikan susu ibu dan berusaha untuk memberikan susu ibu kepada bayi masing-masing. Walau bagaimanapun, masih ada segelintir ibu yang kurang arif tentang keselamatan penyusuan susu ibu semasa hamil.

Jangan takut... Susu ibu selamat untuk ibu hamil itu sendiri, anak yang sedia ada disusukan malah anak dalam kandungan juga. Yakinlah, kita sebagai ibu hamil mampu melakukannya. Jika masih ragu-ragu, boleh bertanya lanjut kepada pakar/ kaunselor laktasi ataupun doktor yang memeriksa kehamilan kita.

Apabila mendapat pilihan bermaklumat (informed choice), sudah tentu kita akan lebih yakin untuk menyusukan anak bukan? Percayalah, jika keadaan kesihatan kita tidak mengizinkan, sudah pasti pakar/kaunselor laktasi dan doktor O&G menasihatkan kita menghentikan penyusuan. Jika itu yang berlaku, maka patuhilah saranan mereka.

Buat masa ini, saya belum mengalami sebarang tanda yang memerlukan saya menghentikan penyusuan buat Nail. Saya tidak muntah teruk, mengalami pendarahan mahupun kontraksi awal seperti yang biasa dinyatakan oleh ibu hamil dan menyusu. Saya juga belum pernah melahirkan anak pramatang (Nauzubillah). Nampaknya setakat ini, belum ada keperluan untuk saya berbuat demikian.

Cuma saya akui, dari sebelum mengetahui diri hamil lagi, sakit pinggang yang biasa dialami semakin menjadi-jadi lantaran sering menyusukan Nail secara mengiring di waktu malam. Bagi saya ia perkara biasa (dan salah sendiri). Ia tidak boleh menjadi penyebab untuk saya berhenti menyusu. 

Apa yang saya tahu, mulai saat ini, saya perlu sentiasa menjaga kesihatan diri dan mengambil makanan sihat dan seimbang secara istiqamah demi diri sendiri, Nail, bakal adiknya dan keluarga juga. Jika tidak sihat, pasti akan timbul masalah lain pula nanti.

Sementara itu, sebelum ini saya pernah menerima beberapa pandangan yang menyatakan penyusuan kepada anak sedia ada akan mengurangkan khasiat buat si anak dalam kandungan. Bagi saya, pandangan itu kurang tepat. Allah SWT telah menciptakan kita sebagai ibu hamil dan menyusukan. Sudah tentu, Dia telah menyusun elok segala-galanya. Yang penting, kita kena jaga pemakanan dan kesihatan. Selainnya, berserah sahaja kepada Allah SWT.

Ada juga yang kata penghasilan susu akan berkurangan. Itu saya setuju dan memang tidak dapat dinafikan. Apabila kandungan semakin membesar, hormon kehamilan memainkan peranan dan mula menyebabkan susu kita sedikit demi sedikit berkurangan. Sama juga halnya dengan rasa susu. Lama-kelamaan susu akan jadi lebih masin akibat peningkatan natrium dan pengurangan laktosa yang dilakukan oleh hormon kehamilan.

Yang paling melucukan, gesaan oleh sesetengah pihak yang cuba mempengaruhi ibu hamil berhenti menyusukan anak adalah kerana risau kolostrum berkurangan dan tidak dapat memenuhi keperluan bayi setelah lahir. Oh! Salah tu! Jawapannya, tidak sama sekali. Ketahuilah, kolostrum akan sentiasa terbentuk dari semasa ke semasa dan ia mencukupi untuk bayi yang bakal dilahirkan.

Apa-apa pun pandangan serong orang lain tentang penyusuan susu ibu semasa hamil, saya tidak begitu ambil peduli. Paling penting saya mahu menjadikan penyusuan semasa hamil sebagai suatu momen indah dan berharga buat saya - Nail - adiknya dalam mengeratkan hubungan antara satu sama lain. 

Saya mahu Nail melihat perubahan fizikal yang bakal saya lalui nanti supaya dia tahu, dia bakal menjadi abang. Jadi, dari awal  dia dapat berkongsi kasih sayang dengan adiknya. Harap dia akan menjadi abang yang dapat bertimbang rasa dan tidak cemburu buta apabila adiknya lahir kelak. 

Sungguh! saya tak sabar menanti saat itu. Sama seperti momen yang saya lalui ketika mengandungkan Nail dahulu di mana Nabiha tidak putus-putus memeluk saya dan mencium perut apabila ada kesempatan melakukannya. Momen itu sangat manis dan tidak akan saya lupakan. (Harap kamu juga mengingatinya ya Nabiha!)

Panjang pula coretan saya kali ini. Satu sahaja harapan saya. Semoga pencerahan yang saya buat dalam entri dapat membantu mana-mana ibu lain untuk terus menyusukan si anak. Dia masih memerlukan kita demi mendapatkan khasiat makanan dan juga belaian kasih sayang yang biasa yang diperolehi menerusi proses penyusuan. Kasihan pula pada dia jika proses penyusuan dihentikan secara tiba-tiba setelah mengetahui diri kita hamil. 

Salam, 
Jastina Ijjas

Sunday, 2 February 2014

UJI hcG SEAWAL PAGI

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin - intanjastina@gmail.com

Salam,

Saya mula menceburkan diri dalam bidang penulisan berkaitan kehamilan sejak belum bernikah lagi. Saya secara rasmi menjadi wartawan Pa&Ma sekitar awal tahun 2004. Jadi, banyak perkara yang saya kurang arif lantaran tiada pengalaman.

Apabila diri sendiri melalui pengalaman hamil kali pertama setelah mendirikan rumah tangga, saya tertanya-tanya apa perlunya kita melakukan ujian kehamilan seawal pagi atau lebih tepat lagi di waktu Subuh. Bagi saya apabila hamil, sudah pastinya hormon hcG sudah sedia ada dalam diri, jadi kita boleh mengetahui kehadirannya pada bila-bila masa dan tidak terhad pada waktu pagi sahaja.

hcG atau nama penuhnya human chorionic gonadotropin ialah sejenis hormon yang dapat menunjukkan seseorang wanita itu hamil. Hormon ini dihasilkan oleh uri selepas berlakunya persenyawaan iaitu setelah zigot terbenam dalam dinding rahim. Paras hcG yang boleh dikenalpasti menerusi air kencing lebih tinggi apabila usia kehamilan semakin meningkat.

Untuk mengetahui hamil atau sebaliknya, kita boleh melakukan ujian kehamilan dengan menggunakan kit penguji kehamilan yang boleh didapati di farmasi seawal 7 hari daripada tarikh kita sepatutnya haid.

Memandangkan ada kes di mana kit penguji kehamilan gagal mengesan hcG biarpun haid sudah lewat, bertenang... itu bukan petanda kita tidak hamil. Kadang-kadang paras hcG masih rendah, sebab itulah keputusannya negatif.

Oleh kerana itulah, kita sangat digalakkan untuk melakukan ujian kehamilan sewal pagi di Subuh hari. Ketika ini, para hcG berada pada tahap yang paling tinggi. Bagi yang gagal mendapat hasil yang diharapkan, kita boleh cuba sekali lagi keesokan harinya pula.

Untuk ujian kali kedua itu, kita kena bangun seawal pagi dan jangan sesekali minum air sebelum membuang air kecil bagi mendapatkan sampel air kecing berkualiti.

Bagi mendapatkan keputusan yang lebih sahih, kita boleh usahakan ujian darah. Hal ini kerana ujian darah lebih sensitif berbanding  ujian air kencing. Malah, ia boleh mengesan kehamilan sejak dari enam hingga lapan hari selepas persenyawaan! Ujian darah ini anda boleh dapatkannya  di klinik atau hospital berhampiran.

Jangan jadi naif seperti saya sewaktu mahu melakukan ujian kehamilan kali pertama. Ada lebih baik jika ujian kehamilan dilakukan pada waktu pagi seminggu selepas haid kita lewat. Diharap dengan melakukannya pada awal pagi, keputusan yang bakal kita peroleh memuaskan hati.

Salam,
Jastina Ijjas