Thursday 23 January 2014

DUIT "SELIT-SELIT"

Coretan: Intan Jastina Jamaluddin – intanjastina@gmail.com

Salam,

Dalam waktu rehat makan tengah hari tadi, saya dan tiga orang rakan sekerja tanpa sengaja membangkitkan isu duit “selit-selit”. Semuanya berpunca daripada salah seorang daripada kami memberitahu, yang dia tidak sedar di dalam dompetnya tiada duit mencukupi untuk membayar caj parkir ketika bertugas di luar pejabat.

Dia juga mendedahkan bahawa suaminya sering kali berpesan untuk meninggalkan not RM50 di dalam kereta untuk kecemasan. Ya... bagi saya, memang betul tindakan yang dilakukan oleh suaminya itu. Kecuaian yang lebih kurang sama pernah berlaku kepada kawan saya. Akibatnya, kawan saya itu  terpaksa meminjam RM10 daripada juruwang di sebuah stesen petrol setelah mendapati dompetnya tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar tol.

Belajar daripada kesilapan itu, saya sendiri memang ada menyorokkan duit “selit-selit” di dalam kereta. Tujuan utamanya ialah ia dapat digunakan apabila berlaku hal-hal kecemasan seperti yang berlaku kepada dua orang kawan saya ini. Tak dapat saya bayangkan bagaimanakah agaknya rupa cuak saya kalau situasi sebegini terjadi pada diri sendiri. Jika ada orang lain bersama kita, selamat! Kalau seorang diri, nasib badanlah jawabnya...

Dalam pada itu, bagi mengelakkan duit itu diketahui oleh orang yang tidak sepatutnya atau dalam erti kata lain, si penyamun, saya masukkan duit simpanan kecemasan ke dalam bekas gulungan filem (bekas filem Kodak, Fuji dan seumpama dengannya) yang berwarna hitam. Kemudian saya tempatkannya di dalam laci dashboard.

Dengan cara ini, saya berharap si penyamun (jika tidakdirkan perlu melalui pengalaman pahit ini) tidak tahu di dalam bekas gulungan filem ini sebenarnya mengandungi duit. Walaupun jumlah duit yang ada di dalamnya tidak seberapa... saya pasti ia pasti disambar juga oleh si penyamun tidak kira berapa pun jumlahnya.

Terpulanglah, sama ada mahu menyelitkan duit syiling atau ringgit. Simpan dalam jumlah yang memadai. Jangan terlalu banyak dan jangan pula terlalu kurang. Alamak! Saya dah terbocor rahsia sendiri. Nampak gaya, kenalah saya mengubah strategi. Duit itu kenalah saya simpan di dalam bekas yang lain pula...

Tapi tak mengapa. Saya cuma mahu berkongsi tip yang ada. Nasihat saya,  jangan lupa “selitkan” duit kecemasan di dalam bekas dan lokasi yang difikirkan bersesuaian. Selamat beramal!

Salam,
Jastina Ijjas

2 comments:

  1. betul gak kan Intan.. ..ziela pernah terlupa dalam purse langsung x ada duit..tiba2 nak bayar duit tol kat Shah Alam x ada duit...punyalah malu..siap merayu kat budak yg jaga tol tu...pastu terus kena marah dengan ex boyfrient..sejak tu..dlm kereta mesti ada duit syiling..berapa x penting..tp lepas ni kena ada note gak la kan..sbb kalau tiba2 minyak dah hbs..kita plak lupa nak keluarkan duit..station minyak plak atm x ada or out of services.. masak.

    ReplyDelete
  2. Betul.. betul... betul... kiranya tu duit emergency... in case la apa-apa hal kan....
    Yang penting, kita kena sorokkan dalam satu bekas dan lokasi yang bukan pada pandangan umum... Kang tak pasal-pasal cermin kereta pecah pulak. Nauzubillah

    ReplyDelete